Tempahan lembu korban kurang berbanding tahun lepas

Adie Sufian Zulkefli
Jun 22, 2023 09:30 MYT
Zainol Abidin Mohamad memberi makan dedak kepada salah seekor daripada lembu ternakannya di ladangnya di Jalan Sintok, Kubang Pasu, Kedah, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
KUBANG PASU: Walaupun Aidiladha bakal disambut minggu depan, namun, sehingga kini, permintaan terhadap lembu korban masih berkurang berbanding tahun lepas.
Penternak yang juga Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm, Zainol Abidin Mohamad berkata, tempahan pada tahun ini menurun kira-kira 20 peratus.
Katanya, pada tahun ini pihaknya menyediakan 300 ekor lembu bagi menampung permintaan pelanggan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, syarikatnya hanya menerima tempahan sekitar 110 ekor sahaja.
Menurut Zainol Abidin, berbanding tahun lepas dia berjaya menjual hampir 200 ekor lembu.
Jelasnya, walaupun harga dedak mengalami peningkatan setiap bulan, namun dia masih mengekalkan harga lembu antara RM5,400 sehingga RM6,000 seekor mengikut saiz.
"Raya haji tahun lepas saya boleh jual lebih kurang 200 ekor lembu untuk buat korban tapi setakat hari ini dan untuk kali ini baru sampai 100 ekor lebih... walaupun kita kata tahun ini kos dedak meningkat begitu banyak sekali, kos ternakan, kos pekerja semua meningkat, namun, harga lembu korban tetap sama kita tak naik harga lembu, sama sahaja," kata Zainol Abidin ketika ditemui di ladang ternakannya di Jalan Sintok, di sini, pada Rabu.
Zainol Abidin berkata, pihaknya masih membuka tempahan lembu korban sama ada secara hidup atau tompok (bahagian) sehingga 28 Jun ini iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.
Bahkan, syarikatnya turut menyediakan khidmat penyembelihan haiwan korban kepada pelanggan yang berhasrat memudahkan urusan ibadah mereka.
Katanya, pelanggan hanya perlu datang mengambil daging sahaja sementara, urusan proses menyembelih dan melapah akan diuruskan pihak ladang.
#Lembu Korban #tempahan lembu korban #hari raya aidiladha #Fatimah MZ Agro Farm
;