TEMCO tamat: Penduduk Kampung Natoi lebih nikmat sambut merdeka
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2020 10:31 MYT
Ogos 26, 2020 10:31 MYT
Sebaik mendengar pengumuman kerajaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar (TEMCO) di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap ditamatkan hari ini, lebih awal daripada jadual asal 31 Ogos, penduduk kampung melahirkan kesyukuran.
Setelah berjaya mengharungi hari-hari yang penuh ketakutan dan kegusaran susulan penularan COVID-19 di bawah Kluster Sivagangga, penduduk Kampung Natoi, dekat Napoh, menyifatkan ia satu kemerdekaan buat mereka.
Kegembiraan dan kesyukuran jelas kelihatan pada wajah-wajah mereka sebaik gelang merah jambu yang dipakaikan sejak 3 Ogos lalu, ditanggalkan daripada pergelangan tangan mereka.
Bagi 350 penduduk kampung ini, sememangnya mereka terkesan dengan TEMCO yang dikenakan kerana kampung itu terletak dalam jarak 1 kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh yang dikenal pasti punca tersebarnya COVID-19 di kawasan itu.
Tempoh dikuarantin diibaratkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat kerana ia satu peperangan dan perjuangan menentang musuh yang tidak nampak di mata.
"Kami rasa syukur kerana wabak di bawah Kluster Sivagangga telah berakhir, atau lebih tepat, tiada lagi dalam kawasan kami. Ia amat bermakna kerana kami telah merdeka daripada wabak virus ini tanpa sebarang gejala.
"Kami bangga dapat menyambut hari kemerdekaan hari ini. Begitu pun, kita masih belum menang dan mesti terus lawan COVID-19. Pastikan kita ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jaga jarak fizikal, selalu pakai pelitup muka," kata seorang penduduk, Zulkiflli Md Isa.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Amran Abdul Manaf mengambil sikap positif dan berkata, apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
"Seperti kita semua sedia maklum, di bawah perintah TEMCO, kita dalam keadaan terkurung. Kita dikawal polis di bahagian depan pintu masuk kampung dan juga jalan-jalan di belakang.
"Kita disekat. Kita tak boleh keluar. Urusan harian tidak boleh berjalan. Kita tak boleh keluar bekerja. Anak-anak tak boleh sekolah. Anak-anak yang akan menduduki peperiksaan sedikit sebanyak turut tertekan.
"Mungkin ini masa untuk kita memperbaiki hubungan dengan Tuhan, dengan kaum keluarga dan juga seluruh penduduk kampung. Contohnya, kita di Kampung Natoi hari ini, masih bersemangat untuk meneruskan membuat persiapan bagi menyambut Hari Kemerdekaan," katanya.
Sebagai tanda syukur dan memerdekakan diri dari wabak koronavirus itu, penduduk kampung bergotong-royong memasang bendera di hadapan pintu masuk dan di sepanjang jalan.
Malah, mereka penduduk turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan termasuk anggota polis, RELA, Angkatan Pertahanan Awam dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang selama ini turut sama berjuang menjaga dan memerangi COVID-19.
Sementara itu di KUALA SANGLANG, Perlis, selepas lebih dua minggu terkurung dan tidak dapat menjalankan aktiviti harian dan pekerjaan, hari ini penduduk di Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji dapat menarik nafas lega.
Sememangnya, mereka terkesan dengan perintah kawalan yang dikenakan ke atas mereka susulan penularan wabak COVID-19 di bawah Kluster Sivagangga.
Penduduk kampung, Mohd Saiful Azizan, 42 tahun, berasa lega kini mereka dapat menjalankan aktiviti harian seperti berniaga, turun ke laut dan keluar bekerja.
Jelasnya, sepanjang TEMCO, banyak pengalaman dan pengajaran dilalui serta diperolehi, dalam usaha memastikan penularan COVID-19 dapat diputuskan.
Dia mengibaratkan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai satu kemenangan buat mereka yang akur dan patuh dengan arahan ditetapkan pihak berkuasa.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan TEMCO di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah ditamatkan hari ini, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Ogos.
#COVID-19
#Gelang merah jambu
#ismail sabri yaakob
#Kampung Natoi
#Kedah
#KKM
#Kubang Pasu
#Napoh
#Nasi Kandar Salleh
#perintah kawalan pergerakan
#polis
#restoran
#Sivagangga
#SOP
#TEMCO