TEMCO: Polis tubuh pasukan peronda di tiga zon sekitar Aman Jaya
Astro Awani
Ogos 29, 2020 12:17 MYT
Ogos 29, 2020 12:17 MYT
Polis Daerah Kuala Muda mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Pasukan Peronda Bermotosikal (PROLA) untuk melakukan pemantauan di tiga zon sekitar kawasan Aman Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO), bermula Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, pasukan ini terdiri daripada dua anggota yang yang ditempatkan di setiap zon.
Mereka akan dibahagikan kepada dua syif untuk melakukan tugas rondaan lapan jam di setiap zon.
Zon berkenaan adalah Zon Mawar, Zon Melor dan Zon Kenanga di mana setiap zon menempatkan enam anggota.
“Setiap zon selain daripada road block kita sediakan dua PROLA.
"Setiap zon ada dua PROLA, maknanya ada enam orang yang akan mengawasi selama lapan jam dengan bermotosikal supaya lebih mudah bergerak untuk memantau kerana laluan tikus memang banyak,” jelasnya.
Walaupun penduduk memberi kerjasama baik namun polis tidak mengambil mudah perkara itu kerana mungkin ada yang cuba mencari peluang untuk tidak melalui sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan.
Beliau berkata, pihaknya sudah memasang kawat duri di 11 laluan tikus yang dikenal pasti di tiga zon berkenaan untuk mengelakkan penduduk curi untuk keluar masuk di kawasan itu.
Adzli berkata empat SJR sudah didirikan di tiga zon berkenaan untuk memastikan tiada penduduk yang keluar masuk bagi mengelakkan penularan COVID-19 ke kawasan lain.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada penduduk yang memakai gelang merah jambu tidak dibenarkan keluar dan boleh dikenakan tindakan sekiranya melanggar PKPD.
Jelas beliau, pihaknya akan menambah anggota dan sekatan sekiranya banyak yang melakukan perlanggaran untuk menyekat penularan COVID-19.
#Adzli Abu Shah
#Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
#Ketua Polis Daerah Kuala Muda
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#Polis Daerah Kuala Muda
#PROLA
#TEMCO
#Zon Kenanga
#Zon Mawar