TEMCO di Amanjaya ditamatkan hari ini
Ridauddin Daud
September 27, 2020 14:53 MYT
September 27, 2020 14:53 MYT
PUTRAJAYA: Selepas sebulan Zon Melor, Amanjaya di Kedah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO), akhirnya penguatkuasaan itu akan ditamatkan pada hari ini, 27 September 2020.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas tiada pertambahan kes baru positif COVID-19 direkodkan untuk tempoh 13 hari sejak 14 September lepas.
Sebelum ini, PKPD secara pentadbiran di kawasan itu dilanjutkan bermula 14 September 2020 selepas mula dilaksanakan pada 28 Ogos lepas.
“Sebanyak 4,931 sampel telah diambil di Zon Melor dan bilangan kes positif COVID-19 kekal 13 kes seperti yang direkodkan pada 13 September 2020 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan TEMCO dilaksanakan di Amanjaya, Kedah yang melibatkan tiga zon selepas kes positif COVID-19 di kawasan terbabit terus meningkat.
Ismail Sabri berkata, penguatkuasaan itu akan bermula 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiga zon di Amanjaya adalah di Kenanga, Mawar, dan Melur yang melibatkan seramai 22,360 isi rumah akan disaring oleh KKM.
“Penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada zon manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon terlibat,” katanya lagi.
#PKPD
#TEMCO
#amanjaya
#Kedah
#ismail sabri yaakob
#Astro Awani
#KKM
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#menteri
#rumah
#perintah kawalan pergerakan
#kes positif