Tembok besi beri keinsafan, peluang hayati al-Quran - Tahanan
Bernama
Julai 4, 2024 23:54 MYT
Julai 4, 2024 23:54 MYT
TAPAH: Berada di sebalik tembok besi membuatkan diri kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup sekali gus mendekatkan diri kepada Allah.
Begitulah luahan hati juara hafazan kategori wanita sempena Majlis Ihtifal Kesenian Islam Perujian Menghafaz Al-Quran dan Pertandingan Marhaban Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia.
Syafikah, 32, (bukan nama sebenar) berkata aktiviti berbentuk kerohanian dan berbentuk keislaman memberi banyak tunjuk ajar kepada dirinya untuk membina jati diri dan mengubah persepsi masyarakat terhadapnya.
"Alhamdulillah, kalau dulu mungkin saya lalai dan ambil mudah tentang agama. Apabila duduk dalam penjara ini banyak mengajar saya erti keinsafan, menilai diri dan tahu beza mana betul atau salah.
"Al-Quran merupakan satu terapi dan baiki cara kehidupan dan berfikir dari perkara buruk ke perkara yang lebih baik," katanya yang mewakili Penjara Kajang ketika ditemui di Dewan Dato' Yassin, Penjara Tapah di sini, hari ini.
Seorang lagi peserta Faris, 20, (bukan nama sebenar) yang mewakili Sekolah Henry Gurney berkata mendalami kitab suci itu terutama dari sudut hafazan banyak mendisplinkan dirinya dalam menjalani kehidupan seharian.
"Kalau nak diikutkan memang susah juga untuk menghafal kerana ada rakan-rakan yang suka mengusik. Tetapi saya tetap cekalkan hati dan kerap jumpa ustaz yang mengajar di sini untuk memperbaiki bacaan saya.
"Alhamdulillah, rezeki saya menang untuk pertandingan kali ini," katanya yang turut muncul juara bagi kategori (Lelaki) Hafazan Tahap 3.
Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata seramai 128 penghuni dari 26 institusi termasuk Sabah dan Sarawak telah menyertai majlis berkenaan.
Beliau berkata penganjuran program seumpama itu mampu membuktikan kepada masyarakat bahawa tahanan di penjara mempunyai ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat mereka khususnya dalam aktiviti berteraskan kerohanian dan kesenian Islam.
"Program ini mempertandingkan dua acara iaitu Perujian Menghafaz Al-Quran mengikut kategori iaitu tahap satu, tahap dua dan tahap tiga serta pertandingan marhaban.
"Selain memberi ruang dan peluang kepada prospek untuk menonjolkan bakat dalam aktiviti berbentuk keislaman, penganjuran program ini mampu meningkatkan kemahiran dan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan masyarakat," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut merasmikan majlis yang telah diadakan selama empat hari bermula 1 Julai lepas yang turut dihadiri Orang Besar Jajahan Batang Padang Datuk Mat Rasid Ayob.
-- BERNAMA