Tembakan di KLIA: Suami sudah sedar, tanya mengenai keluarga

Sinar Harian
April 21, 2024 17:42 MYT
Sebelum ini, Muhammmad Nur Hadith ditidurkan selepas parah terkena tembakan ketika melindungi majikannya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pengawal peribadi yang ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini sudah sedarkan diri sejak semalam.
Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya, Muhammmad Nur Hadith Zaini, 38, sudah sedarkan diri, namun masih lemah dan hanya berupaya bertutur dalam keadaan terhad.
Menurutnya, perkara pertama yang suami tanya sebaik pihak hospital membuka alat bantuan pernafasan pagi tadi (Ahad) mengenai keluarga dan anak-anak.
"Alhamdulillah, suami sudah sedar. Alat bantuan pernafasan juga telah dibuka dan dia boleh bercakap sikit-sikit.
"Buat masa ini, suami masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Muhammmad Nur Hadith ditidurkan selepas parah terkena tembakan ketika melindungi majikannya dalam insiden seorang lelaki disyaki cuba membunuh isteri di KLIA Ahad lalu.
Mangsa sebelum ini menjalani pembedahan usus di hospital sama susulan insiden yang menimpanya itu.
Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu kemudian berjaya ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan, 15 April lalu.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#tembakan KLIA #pegawai peribadi #sudah sedarkan diri #Muhammmad Nur Hadith Zaini #ICU
;