Tembak mati hidupan liar langkah terakhir - Perhilitan
Bernama
Mac 19, 2022 05:00 MYT
Mac 19, 2022 05:00 MYT
KOTA TINGGI: Menembak mati hidupan liar merupakan langkah terakhir yang terpaksa diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sekiranya haiwan berkenaan dilihat mula menyerang.
Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata langkah itu dilakukan setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk aspek keselamatan dan ancaman nyawa.
"Langkah terbaik adalah pasang perangkap, tembak mati adalah langkah terakhir, yang mana ia dibenarkan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Oleh sebab itu, kita sentiasa buat libat urus, tidak kira gajah atau harimau, kita buat libat urus dengan penduduk setempat macam mana hendak mengatasi dan beri nasihat kepada mereka," katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan/ Pematuhan) Datuk Abdullah Jaapar
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggunaan peluru hidup dan pelali terhadap hidupan liar.
Abdul Kadir berkata orang awam juga perlu mengetahui bahawa penggunaan pelali juga boleh menyebabkan haiwan berkenaan terdedah kepada risiko kematian, antaranya dengan mengambil kira lokasi haiwan itu berada.
"Apabila tembak haiwan tidak terus pengsan...dia terkejut dahulu dan lari, mungkin selepas 10 minit baharu kita dapat kesan dan (haiwan) itu tumbang (pengsan).
Kalau tumbang dalam sungai dia (berisiko) akan lemas, harimau pula kalau lari 10 minit mungkin jauh lebih 300 hingga 400 meter, sukar hendak ikut atau dia tumbang di tepi lereng bukit, jatuh dan patah leher... macam-macam lagi," katanya.
Pada 7 Jan lepas, Jabatan Perhilitan Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai, yang mana tembakan terpaksa dilepaskan berikutan harimau berkenaan dilihat cuba menyerang kakitangan Perhilitan ketika proses tangkapan sedang dijalankan.
Sementara itu, beliau berkata setakat Sept 2019 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 2,038 jerat telah dimusnahkan menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3), yang dijalankan bagi memantapkan usaha konservasi hidupan liar dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Mengenai OBK pula, sejak awal tahun ini dua operasi telah dilakukan dan 11 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah, dengan nilai rampasan sebanyak RM54,000 selain penahanan 19 individu.
-- BERNAMA