SEPANG: Pengurusan kes Hafizul Harawi yang disyaki terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, ditetapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pada 25 Julai depan.


Ringkasan AI
  • Pengurusan kes Hafizul Harawi yang disyaki terbabit dalam insiden tembakan di KLIA ditetapkan di Mahkamah Sesyen pada 25 Julai selepas pihak pendakwaan meminta masa sebulan untuk dokumen kes.
  • Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh baru bagi kes tersebut, sementara peguam Hafizul tidak membantah keputusan itu.
  • Hafizul dituduh cuba membunuh ahli perniagaan dan menyebabkan cedera parah terhadap individu lain dengan pistol, dengan pertuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.


Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan memutuskan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka memerlukan masa sebulan untuk melengkapkan dokumen berkaitan kes.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin berkata, susulan itu, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi tujuan tersebut.

Sementara itu peguam, Hafizul Nik Azim Azlan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara berkenaan.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju T dan berseluar berwarna putih dibawa ke mahkamah pada jam 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Ini merupakan sebutan kes hari pertama selepas didakwa di sini pada 25 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Md Isa, 38, di balai ketibaan lapangan terbang itu, pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, namun jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tujuh anak itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Nur Hadith Zaini, 38, menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kes berkenaan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian