Teman lelaki ibu campak bayi serah diri

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 15, 2020 08:35 MYT
Bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian otak, selain tempurung kepalanya retak disebabkan jatuh dari tempat tinggi. - Foto ihsan pembaca
Seorang lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai teman lelaki kepada ibu bayi yang dicampak dari balkoni tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, Pulau Pinang pada Rabu menyerah diri di balai polis pada Khamis.
Lelaki berkenaan yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak tampil menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru kira-kira jam 8.40 malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalalagan berkata, lelaki itu yang tinggal di Bayan Lepas mengakui bahawa wanita yang mencampak bayi itu adalah kekasihnya.
Menurut Anbalagan, lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai itu akan direman di mahkamah hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada Rabu, wanita berusia 18 tahun bertindak mencampak bayi yang baru dilahirnya dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, Pulau Pinang.
BACA: Kejam! Remaja tergamak campak bayi dari tingkat empat
Perbuatan wanita itu menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian otak, selain tempurung kepalanya retak disebabkan jatuh dari tempat tinggi.
Selain didapati mempunyai kesan luka pada bahagian kepala, bayi tersebut turut mengalami kecederaan pada hati.
Menurut Anbalagan, bayi itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan akan dirujuk kepada pakar untuk rawatan susulan.
#AA Anbalalagan #Bayan Baru #Bayan Lepas #bayi #campak bayi #flat #Hospital Pulau Pinang #ICU #kecederaan #otak #pangsapuri #pembantu kedai #Pengkalan Hulu #polis #rawatan #reman #serah diri #siasatan #teman lelaki #tempurung kelapa
;