Telur oh telur: Ada pihak manipulasi gred telur kepada peniaga?

Fareez Azman
Februari 1, 2023 22:20 MYT
Ketika isu bekalan telur semakin menunjukkan trend pemulihan, timbul pula dakwaan terdapat pihak tertentu memanipulasi gred telur sebelum tiba kepada peniaga. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Isu bekalan telur sebelum ini menjadi keresahan rakyat termasuk peniaga dan pengusaha restoran disebabkan bekalan tidak mencukupi.
Ketika kerajaan sedang merangka pelbagai langkah menangani isu ini, dengan bekalan telur dilihat menunjukkan trend pemulihan, timbul pula dakwaan terdapat pihak tertentu memanipulasi gred telur sebelum tiba kepada peniaga.
Astro AWANI turun ke lapangan untuk meninjau situasi ini, sama ada dakwaan ini berasas atau sebaliknya.
Menurut Azreen Murhalim, 22, yang bekerja di sebuah kedai pemborong telur di ibu negara, dia mengakui isu terbabit sememangnya wujud ketika ini.
Ujarnya, ada pihak yang dipercayai membeli telur daripada pemborong sebelum menjualnya semula kepada peniaga dengan menipu gred telur.
"Banyak (aduan)... di setiap kawasan perumahan ada kedai runcit, mereka cakap telur gred A tapi kalau kita timbang saiz pun kita tahu lain daripada apa yang dijual.
"Setiap minggu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) akan lalu sini buat pemantauan dan timbang telur," dakwanya.
Tambah Azreen, sebagai pemborong telur menjadi keutamaan pihaknya untuk memastikan telur dijual dengan gred yang ditentukan oleh ladang.
Bagaimanapun, disebabkan oleh kekurangan bekalan sebelum ini, ada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih dengan memanipulasi saiz telur.
"Memang kita ikut berat... gram semua, dia punya gred dan harga ikut harga kawalan... semua daripada (ditetapkan) kerajaan.
"Boleh dikatakan banyak (kes manipulasi) sebab harga telur sekarang... memang harga biasa tapi stok kurang. Jadi pelanggan ambil kesempatan jual balik dekat orang lain dengan harga yang mahal," dakwanya lagi.
Ujarnya, setiap telur akan ditanda oleh pihak ladang sebelum dihantar kepada pemborong.
"Setiap (papan) telur mesti ada tanda (guna) kapur, dia (peladang) akan tulis huruf A pada setiap biji telur dalam satu papan.
“Kalau gred B dan C dia (juga) akan tulis (gredkan) ikut tulisan roman i,ii dan iii.
"Yang susah nak bezakan telur gred B dengan gred AA dan A (saiz tidak jauh beza) banyak pelanggan ambil kesempatan telur gred B dia jual harga telur A dan AA," katanya lagi.
Laporan Khas: Telur Oh Telur | Ada pihak manipulasi gred telur kepada peniaga?
Sementara itu, pemilik kedai serbaneka di Kampung Baru, sejak 25 tahun lalu, Roha Mahmood, 54, juga berkongsi pandangannya.
Ujar Roha, dia pernah mendengar mengenai isu terbabit, namun belum pernah mengalaminya sendiri kerana tidak pernah mendapatkan bekalan telur daripada orang tengah.
"Ada yang cerita-cerita (penipuan gred), ada dengar juga. Kadang-kadang diorang (peniaga) tanya dan belek-belek telur (sebelum beli).
"(Rakan peniaga) cakap ada juga, tapi sini tak pernah berlaku.
"Kena tanya dulu (stok), kadang kita cakap awal WhatsApp dulu (kepada pemborong) nanti dia simpan. Kalau gred B dia bagi B, kalau double A di bagi double A. Setakat ini tiada lagi kes ini saya kena," katanya.
Esok kami bawakan maklumat yang dikongsi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai isu ini.
#telur #manipulasi #kpdn #rakyat
;