Telur mampu jadi punca utama puding buih tercemar - Pakar pemakanan

Raja Hisyam Raja Zaid
April 13, 2022 14:17 MYT
Makanan yang rosak boleh dikesan dengan lihat, bau dan rasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua tahun lalu negara dikejutkan dengan kejadian 99 orang daripada 20 keluarga mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih di Terengganu selain insiden turut meragut satu nyawa.
Episod tersebut seakan hampir berulang apabila beberapa hari lalu dua kanak-kanak turut mengadu mengalami keracunan selepas menikmati makanan tersebut yang juga berlaku di Terengganu.
Menurut Pakar Pemakanan Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Prof Madya Norazmir Md Noor, pengurusan cara pengendalian makanan adalah sesuatu yang perlu dititik beratkan terutamanya membabitkan produk jualan makanan.
BACA: Puding buih: Bukan salah telur
Jelasnya ia bagi memastikan tahap dan kualiti serta keselamatan terjamin serta mampu mengelakkan daripada kejadian yang sama berulang.
Dalam kes membabitkan puding buih katanya, bahan utama yang mungkin perlu diberikan perhatian aspek kebersihannya adalah membabitkan telur yang digunakan untuk membuat kuih berkenaan.
“Jika kita lihat bahan penting yang digunakan adalah membabitkan telur kerana ia boleh menjadi punca utama (keracunan) kalau kita nak lihat dari segi mikrobnya. Ia mempunyai berpotensi dicemari bakteria Salmonella.
“Jadi pengendalian telur itu kita kena pastikan ia benar-benar bersih.Yang kedua adalah cara masakan itu dilaksanakan kerana sebilangan masakan puding buih yang saya tengok di YouTube ada yang memasukkan agar-agar dalam keadaan suhu yang menurun. Ini menyebabkan agar-agar itu tidak masak sepenuhnya,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Faktor kualiti penyimpanan juga jelasnya boleh menjadi penentu terhadap pencemaran yang berlaku di mana kemungkinan peniaga akan memasak lebih awal sebelum menjualnya ketika Ramadan.
Malah katanya dua perkara penting yang perlu dititik beratkan dalam setiap masakan iaitu masa dan juga suhu.
Bagaimanapun pengguna atau pembeli boleh mengelakkan keracunan terhadap masakan atau makanan yang tercemar dengan beberapa menggunakan beberapa cara.
Ia termasuk membuat penilaian sebelum menikmati setiap makanan melalui lihat, bau dan rasa.
“Di bulan Ramadan rasa mungkin kita tidak dapat lakukan kerana berpuasa namun kerosakan makanan itu boleh dikesan dengan melihat produk tersebut selain bau.
"Selain itu kita tidak perlu memakan dengan kuantiti yang banyak pada permulaan, cukup sedikit dahulu untuk menilai makanan tersebut,” jelasnya lagi.
#Kanak-kanak #keracunan makanan #Ramadan #puding buih
;