Telur di pasaran selamat untuk dimakan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 15, 2021 18:51 MYT
Mac 15, 2021 18:51 MYT
JITRA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan telur yang dijual dalam pasaran tempatan selamat dimakan kerana penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) oleh pihak berkuasa Singapura hanya membabitkan satu ladang.
Jaminan itu diberikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee yang memaklumkan pihak berkepentingan akan mendapatkan laporan penuh daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) yang mengarahkan telur dikeluarkan di Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, Selangor, ditarik balik dari negara itu.
Katanya, siasatan lanjut itu bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
“Daripada maklumat awal, ia hanyalah aduan kepada satu ladang sahaja. Bagaimanapun,
saya akan dapatkan maklumat tambahan sekembali nanti,” kata Ronald kepada pemberita pada Isnin.
Terdahulu beliau menghadiri Program Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi Bulan September dan Oktober 2020 di sini.
Ronald berkata, kementerian juga akan mengeluarkan kenyataan lengkap berkaitan kejadian berkenaan secepat mungkin bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada orang ramai.
Semalam, SFA mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm, sebagai langkah berjaga-jaga.
Kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang SFA menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) pada produk berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika ia dimakan secara mentah atau separuh masak.