'Tell Me, Kenyalang', karya terjemahan anak Sarawak dapat perhatian di Amerika Syarikat

Nickyson Nyambar
September 8, 2020 17:29 MYT
Kulleh dan Pauline bekerjasama menerbitkan karya 'Tell Me, Kenyalang'. - Gambar Ihsan Kulleh Grasi
Pengarang kelahiran Sarawak, Royston John Kulleh dengan nama pena Kulleh Grasi sekali lagi berjaya mengangkat karyanya, ‘Tell Me, Kenyalang’ ke persada antarabangsa apabila tersenarai dalam Anugerah Terjemahan Antarabangsa (NTA) Puisi dan Prosa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, menerusi karya sama, Royston juga pernah menempatkan karya tersebut di dalam senarai The Best Translated Book Awards 2020 (BTBA), the Amazon Literary Partnership, juga di AS.
Menurut Royston, pencapaian ini adalah merupakan penghargaan buat industri sastera tempatan di arena antarabangsa apabila tersenarai dua kali berturut-turut dalam anugerah berprestij pada tahun yang sama.
“Menempatkan karya sastera tempatan di peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang mudah.
“Saya berharap orang tempatan terus menyokong karya seperti ini agar ia terus bersinar khasnya di peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya lagi, penghargaan ini membuktikan penerimaan masyarakat luar terhadap seni sastera negara.
Ujar Royston perkara ini amat bermakna dan istimewa kerana ‘Tell Me, Kenyalang,’ mengisahkan mengenai suara Orang Asal Sarawak (Indigenous people of Sarawak) dengan tema liberasi, mitologi, jati diri dan alam yang begitu dekat dengan dirinya.
Menurut Royston, buku tersebut mengandungi pelbagai seleksi puisi yang pada asalnya terdiri dari bahasa pribumi Sarawak seperti Iban, Kayan, Kelabit, Penan dan Bidayuh sebelum diterjemah ke Bahasa Inggeris.
Karya ‘Tell me, Kenyalang’ yang diterbitkan pada November tahun lalu ini pernah dilancarkan di Pulau Pinang, Singapura dan Berlin, Jerman.
Tambah pengarang muda kelahiran Kapit ini lagi, pencapaian membanggakan ini tidak akan tercapai tanpa bantuan rakannya, Pauline Fan yang berperanan sebagai penterjemah buku tersebut.
Berkongsi lebih lanjut, Royston memberitahu, buku tersebut mengambil masa selama hampir dua tahun untuk siap diterjemahkan.
“Tell me Kenyalang adalah hadiah untuk rakyat Malaysia khasnya pencinta sastera.
“Saya berharap karya pribumi seperti ini terus diangkat agar masyarakat luar lebih mengenali adat dan budaya negara kita,” kongsinya lagi.
#Anugerah Terjemahan Antarabangsa NTA Puisi dan Prosa #Astro Awani #AWANI Sarawak #Kulleh Grasi #Pauline Fan #Tell Me Kenyalang #the Amazon Literary Partnership #The Best Translated Book Awards 2020 BTBA
;