Teliti sistem kesihatan awam sebelum beri kelonggaran SOP - Pakar

Astro Awani
Julai 27, 2021 12:55 MYT
Beliau berpendapat bahawa pihak-pihak terbabit perlu menunggu pemberian vaksin mencapai kadar 40 peratus untuk memastikan situasi lebih selamat sebelum memberikan kelonggaran SOP. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Cadangan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) terutamanya kepada penerima dua dos vaksin COVID-19 sewajarnya dipertimbangkan dan tidak dilaksanakan berasaskan peningkatan kadar vaksinasi dalam negara semata-mata.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat penelitian terhadap sistem kesihatan awam sedia ada juga perlu diambil kira.
“Situasi ini dapat dilakukan dalam masa terdekat, namun kita tidak dapat bergantung kepada vaksin yang pantas sahaja, kita ada dua faktor utama yang perlu diberi penekanan termasuk sistem kesihatan yang tertekan.
“Kita masih perlu banyak melakukan rawatan, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) masih penuh dan prasarana kesihatan perlu diwujudkan dan selagi mana sistem kesihatan tidak mampu menampung, seperti mana yang ditawarkan sebelum ini, saya berpendapat kita masih perlu pertimbangkan kelonggaran tersebut.
“Saya berpendapat bahawa kita perlu menunggu angka vaksin itu mencapai 40 peratus untuk memastikan situasi lebih selamat dalam mewujudkan kelonggaran,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berpendapat aktiviti tertentu dalam beberapa sektor ekonomi boleh diteruskan menerusi gelembung keselamatan (safety bubble) yang boleh diwujudkan terutamanya terhadap mereka yang divaksin.
“Aktiviti tertentu ekonomi dapat diteruskan apabila “safety bubble” diwujudkan terhadap mereka yang divaksin dalam sektor tertentu dan mereka boleh beroperasi seperti biasa. Contohnya sektor pelancongan boleh dimulakan,” katanya.
Justeru jelasnya, langkah "safety bubble" ini adalah langkah paling selamat dalam memastikan pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan selain memberi sedikit kelonggaran kepada penerima dua dos suntikan.
BACA: Kelonggaran SOP bagi individu lengkap 2 dos vaksin diumum beberapa hari lagi - PM
Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi golongan yang sudah melengkapkan penerimaan vaksin mereka, dalam beberapa hari lagi.
Beliau berkata antara kelonggaran yang dicadang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, termasuk perjalanan rentas sempadan terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.
AWANI Pagi: Pasca Hari Pertama Mesyuarat Khas Parlimen
#COVID-19 #ekonomi #ICU #Parlimen #pelancongan #Perdana Menteri #sektor pelancongan #SOP #suntikan
;