Teliti semula syarat tetapkan pemaju perumahan sedia rumah mampu milik - PM Anwar
Bernama
Jun 1, 2023 16:49 MYT
Jun 1, 2023 16:49 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan untuk menyediakan kediaman mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu perlu memandangkan syarat yang ditetapkan iaitu membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan.
"Ini memang dasar sedia ada, tetapi ia tidak menepati dari segi kelajuan dan skala yang ditetapkan.
"Sebab itu saya minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk melihat semula dan mengenakan syarat baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di sini hari ini.
Anwar berkata setiap pemaju perumahan perlu mematuhi syarat tersebut bagi memastikan setiap projek perumahan mega turut menyediakan rumah mampu milik agar golongan berpendapatan sederhana mampu memiliki kediaman sendiri.
Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981.
Anwar berkata pembinaan rumah mampu milik amat bermakna kepada golongan berpendapatan sederhana kerana isu pemilikan rumah merupakan masalah yang menekan golongan itu.
Menurutnya, kira-kira 200,000 unit rumah berharga RM300,000 dan ke bawah diperlukan bagi memenuhi permintaan perumahan penjawat awam di seluruh negara.
-- BERNAMA