Teliti jalan terbaik panggil PATI suntik vaksin
Azyyati Ahmad
Februari 26, 2021 13:01 MYT
Februari 26, 2021 13:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti jalan terbaik untuk membuat pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pekerja tanpa dokumen sah, tampil ke hadapan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Penting juga perbincangan diadakan dengan pemimpin sesebuah komuniti imigran bagi mendapat maklum balas mengenai hal ini.
Pengarah North South Initiative Adrian Pereira, berkata banyak faktor yang menyebabkan mereka takut untuk keluar, antaranya adalah kemungkinan untuk disoal siasat.
Malah kata Adrian, sudah tiba masanya untuk menyatukan semua faktor ini di bawah dasar komprehensif bagi melancarkan migrasi buruh dalam jangka masa panjang.
“Jadi bagaimana mereka akan tampil ke hadapan, saya rasa ini adalah persoalan serius yang perlu kita ajukan. Walaupun kedutaan mungkin menjadi pengantara untuk fasiliti vaksinasi bagi pendatang tanpa izin, kita perlu menyusun beberapa butiran lagi kerana kedutaan boleh jadi faktor kekangan.
“Jadi sudah tiba masanya untuk menyatukan semua faktor ini di bawah dasar komprehensif untuk migrasi buruh dalam jangka masa panjang.
Tetapi untuk vaksinasi menyeluruh, mulakan dengan membawa pemimpin imigran ke hadapan. Mereka akan menerangkan kepada anda budaya komunikasi dan kecekapan yang tiada dalam sistem kesihatan kita,” cadang Adrian.
Dalam masa yang sama, Pakar Kesihatan Awam, UIAM & Pengarah Operasi Pasukan Petugas Selangor, Prof Dr Mohammad Farhan Rusli mempersoalkan sekiranya ada peruntukan ke atas usaha kempen ke atas golongan imigran dan adakah mereka mempunya akses ke atas maklumat tersebut.
“Adakah mereka ini mempunyai akses? Kita dapat mencari wang. Kita dapat mencari jalan penyelesaian agar mereka ini diberi vaksin. Tetapi sebelum itu kita perlu tahu adakah kita ada peruntukan untuk kumpulan berisiko tinggi ini untuk kita boleh merancang dan melancarkan kempen promosi kesihatan bagi memvaksinasi mereka.
“Bayangkan kita menjual idea yang tidak dapat disentuh atau diakses oleh mereka. Jadi saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu kita atasi,” katanya.
Mereka berkata demikian dalam sesi Webinar G25 yang bertajuk COVID-19: Seeking Solutions for Foreign Workers yang dihoskan oleh Profesor Perubatan & Penyakit Berjangkit Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.