Teliti aspek keselamatan sebelum laksana sistem bayaran tol terbuka - Alexander
Hilmi Malik
Mei 10, 2023 18:14 MYT
Mei 10, 2023 18:14 MYT
SUBANG JAYA: Kerajaan sedang meneliti aspek keselamatan dalam transaksi menggunakan kad debit bagi sistem pembayaran tol secara terbuka.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu masih berada dalam fasa perbincangan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya menjelang September nanti.
Ini termasuk meminimumkan kadar risiko menggunakan kad debit sebagai alternatif pembayaran di plaza tol, katanya.
"Kesemua aspek kita nak pastikan risiko dalam kadar minimum... itu sebab perbincangan ambil masa kerana kita nak pastikan isu-isu dan kemungkinan masalah tidak akan berlaku. Jadi tidak boleh tergesa-gesa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir membuat tinjauan di Pusat Pemantauan Trafik Persada PLUS pada Rabu.
Mengulas lanjut, Alexander turut memberitahu, sebanyak 12 syarikat konsesi setakat ini telah bersetuju untuk turut serta dalam pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka.
Sistem itu juga katanya akan melalui tempoh percubaan sebelum dikuat kuasa penuh pada September.
Antara lebuh raya terlibat termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, dan Jambatan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai perkembangan projek pelebaran lebuh raya di Johor.
Ujarnya, perkara itu akan membabitkan perbelanjaan RM525 juta membabitkan laluan Pasir Gudang ke Sedenak dengan penambahan satu lorong.
"Projek ini memang ada tempoh masa apabila kelulusan dah diberikan, sekarang kerja-kerja awal jadi kita serah kepada pihak PLUS untuk laksanakannya," jelasnya lagi.