Telefon bimbit ibu bapa Zayn Rayyan dirampas untuk siasatan - Ketua Polis Selangor

Pia Ernadya
Jun 2, 2024 19:52 MYT
Hussein berkata, rampasan telefon bimbit itu prosedur biasa dalam siasatan sesuatu kes. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis merampas telefon bimbit ibu dan bapa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan telefon bimbit itu prosedur biasa dalam siasatan sesuatu kes.
"Rampasan telefon bimbit itu adalah prosedur biasa dalam siasatan kita," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
BACA: Kes bunuh Zayn Rayyan: Beri ruang polis siasat - KPN
Ditanya sama ada pihaknya ada membuat rampasan lain daripada pasangan itu, Hussein berkata perkara itu tidak boleh didedahkan.
Malah katanya, tiada tangkapan selain daripada pasangan suami isteri itu.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik.
Beliau berkata, perintah reman ke atas kedua-dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan penangkapan itu adalah berdasarkan risikan sejak hari pertama kejadian.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, keesokan harinya.
Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.
Sehingga Januari lalu, lebih 225 individu sudah dirakam percakapan selain 248 sampel DNA milik penduduk dan orang terdekat diambil bagi tujuan siasatan.
Sebelum ini polis menegaskan tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup.
Polis juga menjelaskan, siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu.
#PDRM #Hussein Omar Khan #siasatan kes #kanak-kanak autistik
;