Telapak tangan remaja hancur tersepit mesin pengisar

Ruzaini Zulkepli
Februari 11, 2019 21:27 MYT
Pasukan bomba melakukan operasi memotong mesin pengisar tersebut menggunakan peralatan dikenali sebagai Hydraulic Power Unit. - Foto JBPM
Seorang remaja lelaki terpaksa menempuh azab selepas hampir seluruh telapak tangan dan jari tangan kanannya hancur akibat tersepit di sebuah alat mesin pengisar daging dalam kejadian di Kota Kinabalu, hari ini.
Mangsa, Mohammad Khan Espirman, 19, dipercayai dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) bersama-sama alat mesin pengisar daging berkenaan sebelum pihak hospital bertindak menghubungi bomba bagi mengeluarkan tangannya yang tersepit.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima maklumat daripada HQE 1 mengenai kejadian itu pada jam 4.11 petang hari ini sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke hospital berkenaan bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Sebuah jentera dengan sepasukan anggota kemudiannya dikerahkan ke HQE 1 bagi membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di alat pengisar daging tersebut.
"Pasukan bomba melakukan operasi memotong mesin pengisar tersebut menggunakan peralatan dikenali sebagai Hydraulic Power Unit.
"Operasi itu ditamatkan pada jam 6.42 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
BACA: Wanita tanggung azab satu jam jari tersangkut dalam mesin pengisar mi
BACA: Jari nyaris hancur tersepit mesin pengisar daging
VIDEO: Kaki pekerja cedera parah tersepit mesin pengisar
Mangsa kini diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut bomba, lokasi sebenar mangsa mengalami kemalangan tersebut tidak direkodkan memandangkan JBPM Sabah hanya terlibat dengan operasi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit sahaja sebaik menerima maklumat daripada pihak HQE 1.
#bomba #Hospital Queen Elizabeth 1 #HQE 1 #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kemalangan #Kota Kinabalu #Malaysia #operasi
;