Telaga Tujuh, Langkawi antara 18 lokasi berisiko tinggi kepala air

Abd Hadi Che Awang
November 10, 2021 17:05 MYT
Kawasan Peranginan Bukit Wang mengalami kerosakan berikutan kejadian kepala air, pada Rabu. - Gambar/ Astro AWANI
JITRA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 18 lokasi berisiko tinggi kejadian kepala air di lapan daerah di negeri ini, terutama ketika musim hujan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata justeru pihaknya meningkatkan pemantauan di kawasan terbabit.
Katanya, antara lokasi terbabit ialah Bukit Hijau, Lata Bayu, Lata Celak Iboi dan Sungai Ketil di daerah Baling, serta Air Terjun Titi Hayun dan Air Terjun Batu Hampar di daerah Yan.
Katanya, di Langkawi, tiga lokasi dikenal pasti melibatkan Air Terjun Temurun, Air Terjun Telaga Tujuh serta Hutan Lipur Lubuk Semeliang selain Air Terjun Junjung, Kuala Sedim dan Air Terjun Ulu Paip di Kulim.
Beliau berkata, enam lokasi lain adalah di Kawasan Peranginan Tupah, Puncak Janing, Sungai Empangan Pedu, Lata Mengkuang, Lata Perangin dan Kawasan Peranginan Bukit Wang.
"Di negeri kedah ada 18 lokasi berisiko tinggi boleh berlakunya kepala air dan saya kerahkan anggota di balai berhampiran untuk membuat pemantauan berkala sehingga kita tengok keadaan di lokasi selamat, (pemantauan itu dibuat) sehingga dua jam sekali di lokasi (berisiko berkenaan),
"Kalau diikutkan banyak lokasi yang terdedah dengan bencana kepala air ini (khususnya) termasuk di Baling, Yan, Langkawi dan Bukit Wang," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemantauan di Kawasan Peranginan Bukit Wang yang terkesan susulan kejadian kepala air, pada Rabu.
Terdahulu, dalam kejadian kepala air yang berlaku di daerah Kubang Pasu lewat petang semalam, 18 individu dilaporkan terperangkap di kawasan Surau Batu, Sungai Changlun manakala dua lagi individu terperangkap di Kawasan Peranginan Bukit Wang.
Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh pihak JBPM Kedah melalui beberapa operasi yang dilakukan sehingga tengah malam Selasa.
#Kedah #Langkawi #kepala air #bomba
;