Telaga tiub undang risiko mendapan tanah di Kelantan - ABIM
Sinar Harian
April 16, 2024 15:56 MYT
April 16, 2024 15:56 MYT
KOTA BHARU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan melahirkan rasa kebimbangan terhadap fenomena penggalian telaga tiub di negeri ini yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah.
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, aktiviti tersebut juga boleh menyebabkan ketinggian tanah di negeri itu berada di bawah paras laut dan pelbagai lagi impak negatif.
"Walaupun ianya menjamin sumber air kepada penduduk namun amat berbahaya kepada alam sekitar jika aktiviti penggalian telaga tiub tidak dikawal.
"Hal ini berpandukan kepada laporan akhbar tempatan sebelum ini, lebih 50 peratus penduduk Kelantan bergantung dengan penggunaan air melalui telaga tiub kerana masalah bekalan air di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, kenyataan kerajaan negeri bahawa masalah bekalan air di Kelantan akan selesai menjelang tahun 2027, ia dilihat satu tempoh yang begitu lama untuk diselesaikan.
Ujarnya, kerajaan negeri harus bentangkan pelan penyelesaian air dan seeloknya diselesaikan lebih awal iaitu pada suku tahun pertama 2026.
Mohd Syahiran memberitahu, ABIM Kelantan menggesa agar pelan tersebut dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap sesi agar proses pelan penyelesaian air di negeri ini dapat diketahui rakyat dari semasa ke semasa.
"Dengan kesanggupan kerajaan Persekutuan dalam pemberian wang ihsan kepada Kelantan berjumlah RM58.6 juta untuk tujuan pembayaran gaji dan bonus kakitangan kerajaan negeri Kelantan sempena Aidilfitri pada awal April lalu.
"Diharap kerajaan negeri juga boleh memohon wang ihsan dari Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan proses pemulihan air Kelantan.
"Kami mencadangkan perkara tersebut kerana setakat pemerhatian, beberapa pertemuan antara Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri sudah berlaku beberapa kali, namun belum terlihat lagi sebarang kenyataan dari kerajaan negeri tentang perbincangan yang melibatkan penyelesaian air di negeri ini dengan Perdana Menteri," katanya.
Beliau berharap cadangan ini diterima untuk diperhalusi oleh kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat. - Sinar Harian