Teladani perwatakan pemimpin terdahulu, pastikan perpaduan kekal utuh - Pandikar

Bernama
September 13, 2023 11:00 MYT
Semua pihak di negara ini, sama ada pemimpin atau rakyat, wajar meneladani sikap dan perwatakan pemimpin terdahulu bagi memastikan perpaduan di negara ini terus kekal dan utuh, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Semua pihak di negara ini, sama ada pemimpin atau rakyat, wajar meneladani sikap dan perwatakan pemimpin terdahulu bagi memastikan perpaduan di negara ini terus kekal dan utuh, kata bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pemimpin veteran berusia 67 tahun berasal dari Kota Belud itu berkata, sikap pemimpin terdahulu antaranya Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun membuktikan perpaduan rakyat di tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak mampu disemai dengan baik.
Beliau berkata, dua tokoh penting dalam usaha pembentukan Malaysia itu memainkan peranan penting dalam menyemarakkan dan mengukuhkan perpaduan terutama selepas negara ini dibentuk, malah mampu menyelesaikan isu-isu berkenaan Sabah terutama berhubung tuntutan negeri ini secara harmoni tanpa perlu "berteriak".
"Mereka tidak payah berteriak-teriak meminta untuk dibantu atau sedemikiannya kerana bahasa badan masing-masing memahami antara satu sama lain, 'berbisik' sahaja (sudah) boleh," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu berkata, perpaduan berkait rapat dengan pembangunan, iaitu ketidakstabilan pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung boleh menyukarkan usaha memupuk perpaduan sekiranya tiada apa-apa dilakukan untuk mengatasinya.
Beliau berkata, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Sabah dalam Kembara Kenali Borneo baru-baru ini adalah penting bagi melihat sendiri jurang perbezaan pembangunan itu dan merealisasikan usaha mendekatkan jurang berkenaan.
"Jadi, kalau kita lihat perpaduan dari sudut pembangunan sudah tentu kita sukar berpadu kerana jurang pembangunan itu sudah terlalu jauh, oleh itu saya berharap kerajaan pada masa kini dapat berusaha merapatkan lagi jurang pembangunan berkenaan," katanya.
Ditanya tentang pengaruh media sosial terutama dalam kalangan generasi muda, Pandikar berkata, media sosial diilihat mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan dalam usaha mengukuhkan lagi perpaduan di Malaysia.
"Media sosial ini tidak terkawal. Kebanyakan informasi yang kita baca menerusi media sosial bukan mencerminkan keadaan yang sebenar, malahan apa yang kita baca itu adalah mengenai isu-isu yang dibuat-buat dan kebanyakannya berita palsu sehingga boleh melunturkan perpaduan dalam kalangan rakyat," tegasnya. - BERNAMA
#perpaduan #pemimpin terdahulu #pembentukan Malaysia #Pandikar Amin Mulia
;