Tekup bayi dengan bantal sehingga maut, pengasuh direman tujuh hari

Shuhada Abdul Kadir
September 7, 2024 11:15 MYT
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ke atas suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan. - Gambar Astro AWANI
ALOR GAJAH: Seorang pengasuh wanita direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama di sini, semalam.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat depan dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu suspek yang memakai baju lokap bewarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada pukul 9.30 pagi dengan diiringi anggota polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah semalam dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan memaklumkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.
Pengasuh direman hingga Jumaat, siasat kes bunuh anak asuhan
Suspek yang berasal dari Endau, Johor itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan kira-kira 3.30 petang semalam di taska berkenaan.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, bapa bayi berkenaan, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata, pihak taska menghubungi isterinya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri pada pukul 9 pagi Jumaat.
Anaknya yang baru dihantar ke Taska berkenaan sejak lima hari lalu didapati berada dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) pengasuh yang ditahan berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi tersebut dengan bantal.
Polis tahan pengasuh Taska disyaki bunuh bayi 8 bulan
#pengasuh direman #bunuh anak asuhan #bayi lapan bulan #tekup dengan bantal
;