Tekup bayi baru lahir hingga mati, 2 remaja ditahan
Astro Awani
September 21, 2016 21:56 MYT
September 21, 2016 21:56 MYT
Dua remaja ditahan selepas dipercayai membunuh seorang bayi yang baru dilahirkan dalam kejadian di Bukit Palah, Melaka awal pagi tadi.
Menurut sumber, wanita berkenaan dikatakan menekup muka bayi berkenaan yang sedang menangis.
Panik dengan keadaan bayi itu yang tidak bernafas, wanita itu kemudiannya menghubungi teman lelakinya yang membawa bayi tersebut ke hospital.
Pemeriksaan petugas kesihatan bagaimanapun mendapati bayi itu telah meninggal dunia dan segera membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan itu.
Siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 309b Kanun Keseksaan kerana membunuh anak selepas kelahiran.