Teksi terbakar di JSAHMS, dua mangsa rentung

Bernama
Februari 25, 2017 23:21 MYT
Dua lelaki dijumpai rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar di Kilometer 2.7 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) menghala ke Batu Kawan pada pagi Sabtu. -Astro AWANI
Dua lelaki dijumpai rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar di Kilometer 2.7 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) menghala ke Batu Kawan pada pagi Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi membabitkan sebuah teksi jenis Proton Persona yang musnah 100 peratus.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Suprintendan Shafee Abdul Samad berkata saksi pasukan peronda JSAHMS yang sedang melakukan rondaan di atas jambatan kedua itu mendakwa ternampak sebuah kenderaan yang dipandu perlahan sebelum berhenti di bahu jalan.
"Anggota peronda itu mendekati teksi tersebut dan ternampak dua lelaki India, masing-masing dalam keadaan berbaring di tempat pemandu serta penumpang depan dengan pintu serta tingkap kenderaan berkunci.
"Saksi cuba mengejutkan mereka tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba lelaki itu terdengar bunyi enjin yang kuat dan ternampak api marak dari bahagian enjin dan dia cuba memadamkan kebakaran namun tidak berjaya," kata Shafee.
Menurutnya lagi, saksi turut memberitahu ada mendengar bunyi enjin kereta yang kuat sebelum api mula marak dari bahagian enjin kenderaan.
Semakan pendaftaran mendapati kenderaan tersebut milik individu bernama Gopal Krisnan a/l Arumugan yang beralamat di Kuarters Sungai Pinang, Balik Pulau.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Surizan Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.25 pagi dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 8.48 pagi.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap bagi proses pengecaman dan bedah siasat.
#dua rentung #Gopal Krisnan #JSAHMS #Shafee Abdul Samad
;