TEKS PENUH: Titah Diraja YDPA Agong sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-14
Teks ucapan
Disember 3, 2024 11:11 MYT
Disember 3, 2024 11:11 MYT
TITAH DIRAJA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
Sempena
ISTIADAT PEMASYHURAN CANSELOR
DAN ISTIADAT KONVOKESYEN KE-14
UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA
Pada 3 Disember 2024 [ Selasa ]
Bersamaan 1 Jamadil’akhir 1446 Hijrah
Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL)
Alhamdulillah. Syukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat saya hadir ke Istiadat Konvokesyen yang Ke-14 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada pagi yang mulia ini.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.
Sudah tentu kejayaan ini adalah juga berkat doa restu dari ibu dan bapa, serta usaha dari tenaga pengajar.
Justeru itu, jangan sekali-kali awak semua melupakan jasa dan peranan ibu bapa serta para tenaga pengajar.
Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dan seorang anak yang sentiasa mengenang jasa serta mendoakan kedua ibu bapanya.
Selepas ini, para graduan akan mengharungi pelbagai bidang pekerjaan yang lebih mencabar.
Nasihat saya, tiada jalan pintas ataupun “short-cut” untuk mencipta kejayaan. Semuanya memerlukan usaha keras dan sifat taqwa dalam setiap pekerjaan.
Saudara dan saudari sekalian.
Falsafah utama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Kerana itu, universiti ini turut dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.
Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini.
Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017.
Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras.
Tetapi, ini tidak lah sampai mendera sampai menyebabkan kecederaan dan kematian.
Lebih menduka-citakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku, pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius di ambil oleh mana-mana pihak.
Justeru itu, saya mahu budaya penderaan ini dihentikan serta merta.
Sudah tiba masanya untuk semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat ini dan mengembalikan semula nama baik universiti ini.
Jika ianya terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi.
Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, dan bukannya untuk didera.
Saudara dan saudari sekalian.
Saya menyeru kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia, untuk terus memainkan peranan dalam melahirkan graduan yang bakal menjaga kedaulatan negara.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian.
Semoga kedaulatan dan kemakmuran negara akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman dan musibah.
Sekian.
Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.