Tekong bersama 34 warga Indonesia ditahan, cuba keluar secara haram
Bernama
September 10, 2024 23:00 MYT
September 10, 2024 23:00 MYT
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 35 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia termasuk tekong dipercayai cuba keluar secara haram dari negara ini di kedudukan 6.9 batu nautika barat daya Pantai Sekinchan pada 12.12 tengah malam tadi.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan warga asing berusia 18 hingga 50 tahun itu dilakukan selepas Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat tentang sebuah bot nelayan asing sedang bergerak keluar dari perairan Sekinchan dalam keadaan mencurigakan.
Abdul Muhaimin berkata bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengesan vesel berkenaan susulan maklumat itu.
"Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati terdapat sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan gelap lantas menahannya setelah 10 minit diekori.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong warga Indonesia berumur 35 tahun dan terdapat 30 penumpang lelaki serta empat penumpang wanita sedang duduk berhimpit di bawah dek bot tersebut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata kesemua pendatang asing termasuk bot tersebut ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA