Teknologi terkini lebuh raya Prolintas pastikan keselesaan, keselamatan pengguna

Israr Khalid
Februari 7, 2023 07:00 MYT
Mohammad Azlan (dua dari kanan) juga beri jaminan respons lebih cepat kepada pengguna berdepan masalah di jalan raya PROLINTAS. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keselamatan dan keselesaan pengguna menjadi keutamaan dan jaminan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) di setiap lebuh rayanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, selain mendapat penarafan binaan hijau, lebuh raya syarikat itu juga dilengkapi dengan teknologi terkini.
Selain pencahayaan LED di sepanjang lebuh raya, ia turut disokong dengan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan sistem pengesanan trafik pintar.
“Kalau secara konvensional, jika ada sebarang kejadian di tengah-tengah lebuh raya mungkin kita akan tunggu laporan daripada pengguna atau pasukan peronda yang beroperasi 24 jam tapi kadang-kala kejadian berlaku di luar liputan mereka.
“Jadi sistem kawalan bilik operasi lebuh raya kami boleh mengesan jika ada kesesakan yang melebihi beberapa jarak dan boleh dilihat daripada CCTV untuk kita ambil tindakan segera,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Di samping itu, Prolintas juga ada aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma yang membolehkan pengguna menghantar isyarat pertolongan dengan lebih mudah dan cepat.
Dengan itu katanya, bantuan dapat disampaikan kepada pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kereta atau masalah-masalah lain dengan waktu respons yang lebih pantas.
“Tak perlu lagi nak telefon bilik kawalan nak beritahu anda di kilometer berapa, kita boleh kesan anda di mana.
“Aplikasi itu juga ada menu pratetap (preset) di mana anda boleh nyatakan masalah yang dihadapi, dan isyarat tersebut akan disalurkan terus kepada pasukan peronda yang terdekat.”
Teknologi terkini lebuh raya Prolintas pastikan keselesaan, keselamatan pengguna
#Agenda Awani #PROLINTAS
;