Teknologi solar: Perlu kerjasama perbankan dan industri mudahkan rakyat guna solar
Fareez Azman
Jun 23, 2023 00:04 MYT
Jun 23, 2023 00:04 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak perbankan dan pemain industri solar dicadangkan menjalinkan kerjasama bagi memudahkan rakyat mendapatkan teknologi solar di negara ini.
Menurut konsultan, Zaytech Solution Sdn Bhd, TS Adi Hafiz Al Azmy, cadangan itu dapat meningkatkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan rakyat.
"Sahabat-sahabat dalam penyedia solar ini saya nampak jika pihak perbankan seperti bank-bank lain boleh bekerjasama dengan pemain industri ini menawarkan satu pembiayaan lebih hijau dan mesra poket golongan M40 dan sebagainya.
"Kenapa tidak, ini boleh beri penjimatan dalam tempoh masa panjang. Pada pendapat saya pemain industri dan pemegang taruh lain seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam membawa negara kita ini ke arah harapan," jelasnya.
Jelas Adi Hafiz, sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan, lebih ramai pemain industri akan wujud dalam pasaran sekaligus kos bahan mentah lebih murah berbanding ketika ini.
"Kita perlu lebih ramai pemain industri yang terlibat dalam bidang tenaga solar. Bila pemain industri ini ramai terdapat persaingan antara mereka dan kos bahan mentah menurun.
"Kalau kita tengok dari segi pembuat panel soalar ini saya tak nampak negara kita ada pembuat solar yang kita kata boleh menjual dalam negara kebanyakan kita import dari luar. Mungkin kita boleh melihat ke arah tersebut," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.