Teknologi Solar Dryer Dome, bantu nelayan Kampung Buntal jana pendapatan

Lynch Cowan
April 18, 2020 13:16 MYT
Proses pengudaraan dalam Solar Dryer Dome berfungsi seperti pemanasan dalam rumah hijau dengan capaian suhu 55 ke 60 celcius pada siang hari dan sekitar 30 ke 37 celcius pada malam hari. FOTO: Astro AWANI
Menghasilkan ikan masin hasil daripada lebihan sumber laut sebagai makanan alternatif merupakan idea yang sangat bijak.
Ia bukan sahaja membantu mengelakkan pembaziran malah berupaya membuka peluang untuk nelayan tempatan menjana pendapatan lebih-lebih lagi di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Itu yang dilakukan Persatuan Nelayan Kampung (PNK) Buntal di kawasan Buntal, Kuching apabila terdapat lebihan yang banyak hasil laut segar yang diperoleh nelayan di sana.
Menariknya mereka tidak lagi bergantung kepada cara pemprosesan tradisional yang makan masa beberapa hari untuk menghasilkan makanan alternatif seperti ikan masin.
Hasil laut ini dikeringkan menggunakan Solar Dryer Dome atau Kubah Pengering Solar yang membolehkan proses pengeringan menjadi lebih singkat di antara dua atau tiga hari dan mampu menampung 200 hingga 300 kilogram ikan dalam satu-satu masa.
Proses pengudaraan dalam Solar Dryer Dome berfungsi seperti pemanasan dalam rumah hijau dengan capaian suhu 55 ke 60 celcius pada siang hari dan sekitar 30 ke 37 celcius pada malam hari.
Menurut Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak, Intan Suhaila Othman, ketika nelayan berhadapan dengan situasi lambakan hasil laut, ia tidak menjadi masalah untuk mereka menjana pendapatan.
"Persatuan Nelayan Kawasan Buntal memainkan peranan membeli hasil tangkapan dan kita akan buat kaedah pengeringan untuk menghasilkan ikan kering menggunakan kubah pengering solar.
“Seterusnya ikan kering itu akan dibungkus di pusat pemprosesan hasil perikanan dan kita akan maklumkan kepada semua Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang mempunyai sijil Halal jadi pembungkusan pasti mengikut skop halal,” tambah Intan Suhaila.
Bagi Pengurus PNK Buntal, Anita Idris, teknologi ini memudahkan proses penghasilan dan tidak terdedah kepada cuaca tidak menentu serta lebih bersih.
“Kaedah tradisional itu kadang kala tidak begitu bersih kerana terdedah dan dikeringkan di kawasan yang terbuka.
“Jadi dengan adanya teknologi ini, hasil ikan kering ini lebih bersih, selamat dan tidak terdedah kepada ketidaktentuan cuaca,” ujarnya.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #Kampung Buntal #Kubah Pengering Solar #Kuching #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #perintah kawalan pergerakan #Sarawak #Solar Dome Dryer
;