Teknologi rawatan air kumbahan baharu dijangka dilaksanakan - Tun Mahathir
Abdul Hadi Che Awang
Januari 19, 2020 15:45 MYT
Januari 19, 2020 15:45 MYT
Teknologi 'Advance Moving Bed Bio-Reactor' (AMBBR) dijangkakan akan diperkenal kepada kesemua loji pembentungan dan rawatan kumbahan di seluruh negara sekiranya projek rintis teknologi tersebut berjaya.
Projek itu yang kini sedang dijalankan di Pantai Tengah, Langkawi menunjukkan hasil yang berkesan selepas melalui sesi percubaan selama dua tahun.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ianya selepas teknologi baharu itu dilihat lebih murah, efisien dan bersih berbanding perlaksanaan teknologi lain keatas loji kumbahan yang ada sebelum ini..
Tambahnya, perlaksanaan teknologi AMBBR juga amat penting terutama dalam memastikan air kumbahan dapat dirawat dengan baik selain mengelakkannya daripada mengalir ke laut dan pantai.
Tegas Dr Mahathir, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk mengeksport teknologi terbabit ke luar negara jika ianya menunjukkan keberkesanan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Sistem baharu ini kita hendak uji selama dua tahun, kalau ianya berjaya maka sistem ini akan ganti sistem-sistem lain yang kita guna sekarang ini untuk bersihkan air kumbahan,” kata beliau selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah, Langkawi, pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa aktiviti nelayan yang menggunakan pukat jaring menjadi antara punca utama bekalan air ke Pulau Langkawi sering terganggu.
Jelasnya, pihaknya ketika ini sedang berusaha dalam mengenalpasti sumber bekalan baharu air di Langkawi terutama daripada sumber air bawah tanah sekaligus mengelakkan pulau peranginan terbabit terus bergantung kepada saliran paip dari tanah besar.