Teknologi perlu jadi 'penyuntik semangat' orang Melayu - Tun M
Astro Awani
September 14, 2014 13:26 MYT
September 14, 2014 13:26 MYT
Teknologi tidak pernah menjadikan orang Melayu malas, sebaliknya ia banyak membantu dalam memudahkan proses harian mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelbagai gajet yang dibekalkan kepada generasi hari ini dilihat sebagai platform untuk meningkatkan tahap persaingan orang Melayu itu sendiri.
"Teknologi tidak menjadikan kita malas; teknologi hanya memudahkan proses. Kalau mudah, kita boleh buat lebih kerja berbanding tidak ada teknologi. Kalau hendak kabad (panjat) pokok, tidak ada tangga susah sedikitlah. Kalau ada, boleh naik lima pokok sehari atau lebih banyak lagi.
"Itu teknologi bukan mengurangkan beban kerja, tetapi meningkatkan beban kerja pasal teknologi mempermudahkan proses. Ini kita tidak faham. Tengok sekarang orang guna telefon, dahulu hendak telefon kena cari nombor rumah dan dail. Kita boleh telefon sehari 10 kali mungkin. Sekarang kita boleh telefon sehari 100 kali," katanya dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.
Dr Mahathir berkata, teknologi juga harus dijadikan 'penyuntik semangat' untuk orang Melayu agar lebih produktif.
"Ini teknologi. Bukan bermakna kita jadi lebih malas tetapi kita lebih produktif kerana ada teknologi. Kamu tidak harus jadi lebih malas, tetapi harus jadi lebih produktif.
"Kalau hendak kejar ilmu sekarang, dalam telefon pintar ada ilmu. Semua ada. Tinggal lagi kena tekan. Kalau malas hendak tekan yang itu, kamu tidak dapat ilmu. Ini orang Melayu belum faham. Bukan bermakna dengan ada teknologi, kerja kita jadi ringan, sebaliknya dengan kerja kita ringan, kita boleh buat lebih kerja," ujarnya.
Dr Mahathir turut menyatakan keyakinan melihat semangat untuk mempelajari teknologi bakal menjadikan orang Melayu lebih rajin.
Selain itu, Dr Mahathir memberitahu, tahap kejujuran, ikhlas dan amanah orang Melayu masih rendah selain perlu dipertingkat berbanding kaum lain.
"Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu. Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ini.
"Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat," ujarnya.
Dr Mahathir turut mengakui sentiasa bersikap jujur dan memberitahu apa sahaja yang tidak benar walaupun ada pihak tidak senang dengan tindakan berkenaan.