Teknologi penanaman tingkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan

Bernama
Ogos 9, 2018 05:05 MYT
FAMA juga berusaha meningkatkan teknologi pengurusan tanaman di samping mendidik pengeluar buah-buahan tempatan dengan amalan pertanian yang baik. -Gambar hiasan
Bagi memastikan pengeluaran hasil buah-buahan bermusim tempatan mencukupi pada setiap tahun di samping menghasilkan buah berkualiti, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan pengeluar meningkatkan teknologi penanaman dari semasa ke semasa.
Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata FAMA juga berusaha meningkatkan teknologi pengurusan tanaman di samping mendidik pengeluar buah-buahan tempatan dengan amalan pertanian yang baik.
"Kita juga sedang berusaha menambah kawasan pengeluaran buah-buahan selain membaik pulih dusun-dusun lama. Dengan adanya teknologi 'cantuman dewasa' iaitu pokok-pokok yang kurang berkualiti kita cantumkan dengan pokok yang elok, dalam tempoh tiga ke empat tahun akan menghasilkan produk yang lebih berkualiti," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Jualan Buah-Buahan Bermusim, di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara), di sini pada Khamis.
Pelbagai buah-buahan bermusim dijual dalam program itu, antaranya durian, manggis, cempedak dan nangka melalui konsep 'timbang, bayar dan makan' yang bertujuan mempromosi buah-buahan tempatan.
Selain itu, terdapat juga jualan 'trak makanan' dan ulam- ulaman dalam program kerjasama FAMA dan Mara, yang berlangsung sejak semalam hingga 11 Ogos ini.
-- BERNAMA
#buah-buahan #Datuk Ahmad Ishak #FAMA #pengeluaran hasil #tempatan
;