Teknologi hijau untuk rawat Sungai Pinang

Bernama
Julai 5, 2016 10:34 MYT
Khalil Hasan berkata, sebelum pelaksanaan teknologi itu, keadaan Sungai Pinang sangat kotor dengan keadaan airnya hitam pekat, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan. - Gambar Hiasan
Kualiti air Sungai Pinang di sini, yang sebelum ini tercemar teruk, dirawat menggunakan teknologi hijau sejak dua tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Infinite Acquistion Sdn Bhd Khalil Hasan.
Beliau berkata syarikatnya yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor itu ditawarkan kontrak tiga tahun oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pemulihan sungai berkenaan.
Teknologi hijau yang dikenali sebagai iQPR itu dilaksana sejak 2014 untuk merawat dan meningkatkan kualiti air Sungai Pinang daripada kelas IV (sangat kotor) hingga kelas III dan II (bersih).
Beliau berkata sebelum pelaksanaan teknologi itu, keadaan Sungai Pinang sangat kotor dengan keadaan airnya hitam pekat, berbau busuk dan menyebabkan gatal apabila terkena pada kulit.
"Selepas beberapa bulan teknologi itu digunakan, keadaan Sungai Pinang lebih baik berbanding sebelumnya, airnya sedikit jernih malah sekarang terdapat banyak ikan berbanding dulu.
"Teknologi ini bukannya sebuah alat tetapi pendekatan menggunakan air mineral yang diprogramkan untuk membentuk molekul sangat kecil dengan bertindak aktif memecahkan molekul air sungai yang tercemar melalui gelombang arus.
"Air sungai yang tercemar ini seperti 'jaring' yang memerangkap kotoran. Teknologi itu dituang ke sungai dan ia bertindak memecahkan jaring itu kerana mempunyai pergerakan yang cukup laju iaitu 7,000 meter sesaat," katanya.
Khalil berkata 13 stesen utama dijadualkan untuk penuangan air daripada teknologi itu.
Beliau berkata data yang diperoleh menunjukkan hampir 60 peratus Sungai Pinang kini berada pada kelas II.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak dinafikan masalah pencemaran boleh berulang apabila musim kemarau kerana teknologi itu kurang berkesan tanpa arus yang laju.
"Teknologi itu bertindak dengan berkesan dengan gelombang arus sungai tetapi apabila musim kemarau, air sungai menjadi kering maka arusnya juga kurang," katanya.
#Khalil Hasan #Sungai Pinang #Syarikat Infinite Acquistion Sdn Bhd #teknologi hijau
;