Teknologi hijau: Negara harus dibenarkan rancang strategi tersendiri

Astro Awani
Jun 26, 2023 20:30 MYT
Mengangkat tema Merintis Masa Depan Kelestarian Tenaga di Asia, Persidangan Asia Tenaga 2023 'Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia' dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia. - Foto Petronas
KUALA LUMPUR: Setiap negara harus dibenarkan untuk merancang strategi tersendiri bagi peralihan ke tenaga hijau yang realistik dan praktikal untuk negara mereka, seimbang dari aspek ekonomi dan alam sekitar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, persoalan harus diselesaikan Asia selepas ini adalah memastikan masa depan mapan di samping menangani pelepasan karbon sebaiknya.
Pada masa sama, tambah beliau, keupayaan untuk merencana pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial yang saksama juga perlu diberi perhatian.
“Tenaga adalah asas kepada tamadun kita dan kepada kemakmuran negara - dan seperti yang anda akan dengar dalam beberapa hari akan datang, lebih banyak tenaga akan diperlukan untuk pembangunan Asia.
“Tenaga yang diperlukan oleh Asia adalah keperluan asas yang sama dicapai oleh kebanyakan ekonomi matang sebelum ini, boleh dipercayai dan berpatutan, ketika mereka sendiri meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi.
“Tindakan yang kita putuskan hari ini akan menentukan masa depan sifar bersih yang kita bayangkan - ini tidak boleh menjadi masa depan di mana kita berakhir dengan planet yang boleh didiami tetapi masyarakat diketepikan,” katanya.
Tenaga Hijau: Negara harus dibenarkan rancang strategi tersendiri
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Persidangan Asia Tenaga 2023 'Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengangkat tema Merintis Masa Depan Kelestarian Tenaga di Asia, acara itu dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia.
Ia termasuk pemimpin Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP), serta pegawai dan pemimpin pelbagai industri dan negara.
Dalam pada itu, Naib Presiden S&P Global Daniel Yergin berharap forum seperti itu akan memanfaatkan bukan sahaja Asia tapi juga kepada global.
“Harapan kami adalah dengan kerjasama Petronas, Energy Asia dan Kuala Lumpur akan menjadi forum utama di Asia untuk memahami laluan ke masa depan yang mampan.
“Aplikasinya pula bukan teori tetapi praktikal untuk kerjasama dan perkongsian antara negara dan syarikat untuk mempromosikan pelaburan, untuk memajukan inovasi dan teknologi,” ujarnya.
#Petronas #Tenaga Boleh Diperbaharui #Tengku Muhammad Taufiq #Energy Asia 2023
;