Teknologi eratkan keluarga di Hari Gawai
Astro Awani
Jun 1, 2020 17:05 MYT
Jun 1, 2020 17:05 MYT
Meskipun tidak bertentang mata dan bersua muka namun kecanggihan teknologi sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada keluarga di Sarawak tatkala menyambut Hari Gawai.
Penganalisis Ekonomi berketurunan Iban, Dr Madeline Berma berkata, lazimnya keluarganya akan makan malam beramai-ramai pada 31 Mei namun kerana COVID-19, aktiviti itu tidak dapat dilakukan.
“Selalunya kami makan malam pada 31 Mei dan esoknya Hari Gawai. Tapi baru ini, memang kami pakai Zoom dan WhatsApp saja untuk eratkan hubungan tapi ada juga saudara-mara di luar bandar yang memang kami tidak dapat berbual dengan mereka.
“Tetapi memang semua sangat menghargai masa itu. Lebih-lebih lagi mereka di luar bandar, mereka sangat akur dengan arahan kerajaan supaya jaga penjarakan sosial. Mereka tahu kesan penularan virus ini.
“Mereka panggil 'kubid', tidak panggil COVID-19 tapi mereka sangat-sangat prihatin. Kita ini lagi nak langgar peraturan tapi mereka di luar bandar sangat menghargai (keprihatinan kerajaan dalam membendung COVID-19),” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, sambutan Hari Gawai dalam normal baharu sememangnya cabaran buat mereka namun ramai yang tetap mensyukuri apa yang berlaku pada masa kini.
“Ramai yang saya tanya, ramai yang bersyukur sebab Hari Gawai ini hari mensyukuri. Kita zahirkan syukur. Sama masa zaman rumah panjang dulu, kita zahirkan syukur hasil tuaian padi, syukur atas hasil diperolehi.
“Tapi di zaman moden, kami syukur rezeki yang kami perolehi. Di zaman COVID-19 pula, kami bersyukur kerana negara dapat mengawal penularan virus ini,” katanya lagi.
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#ekonomi
#gawai
#Hari Gawai
#keluarga
#kerajaan
#rumah
#virus
#WhatsApp