Teknologi dan integriti mampu cegah amalan 'duit tepi' - Akhbar Satar
Rahimah Abdullah
April 21, 2019 04:00 MYT
April 21, 2019 04:00 MYT
Penggunaan teknologi yang selari dengan penerapan integriti dapat mencegah amalan rasuah atau 'duit tepi' dalam kalangan penguatkuasa, ujar Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar.
Beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) menjelaskan teknologi tanpa integriti, hanya mampu mengurangkan rasuah dalam jangka pendek dan bukan untuk jangka masa panjang.
"Sudah tentu apabila kita menggunakan teknologi terutama sekali dalam nak mengelakkan masalah duit tepi.
"Namun teknologi sahaja tidak begitu berkesan 100 peratus. Apa yang penting ialah integriti, iaitu pegawai yang menggunakan teknologi itu mestilah ada integriti.
"Masalah kita sekarang ialah masalah integriti. Jika sekiranya kita dapat atasi masalah integriti di kalangan pegawai penguatkuasa agensi, maka pegawai ia akan memberi kesan yang baik terutama sekali dalam mengurangkan rasuah," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Tambahnya, isu integriti adalah satu masalah besar kerana sifat seorang manusia, jika tiada nilai positif itu dalam diri, maka mereka akan mencari jalan untuk mengatasi apa sahaja sistem dan teknologi.
"Dalam jangka masa panjang, pegawai penguatkuasa itu akan mencari jalan untuk mengatasi dan mencari cara untuk mendapatkan wang termasuk duit tepi," katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, sistem penguatkuasa yang ada diakui banyak terdedah kepada kegiatan rasuah.
"Agensi penguatkuasa ini mereka mempunyai kuasa. Ia juga merupakan lubuk untuk buat duit. Oleh kerana kita ada iltizam baharu melalui Malaysia Baharu ini, sepatutnya agensi penguatkuasa ini mengambil peluang untuk mengubah dan memperbaiki sistem sedia ada.
"Kadang-kala sistem yang kita ada ini senang dicerobohi dan diatasi oleh pegawai penguatkuasa yang begitu kreatif," tambahnya lagi.
Justeru, beliau menggariskan beberapa penambahbaikan boleh dilakukan dalam sistem yang dilaksanakan agensi penguatkuasa sedia ada.
Ia termasuk mengadakan ujian psikologi dan integriti seperti dilakukan ke atas pengambilan penguatkuasa seperti suatu ketika dahulu.
"Itu kita melihat suatu perkara yang mustahak kerana kita boleh melihat latar belakang mereka yang akan dilantik menjadi penguatkuasa. Selain itu, latihan asas mengenai antirasuah dan memastikan mereka tidak terlibat dengan rasuah.
Selain itu, ketua agensi penguatkuasa juga perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan.
"Ketua-ketua ini hendaklah menunjukkan teladan yang baik jangan melakukan rasuah. Selain itu, perlu ada pengawasan ke atas pegawai tinggi atau atau bos-bos. Selalunya tidak ada pengawasan di peringkat tinggi. Itu merupakan perkara paling mustahak," kata Akhbar.
Pada masa sama beliau melihat kepentingan mewujudkan Pusat Aduan yang mesra rakyat dan memberi kesan apabila rakyat membuat aduan rasuah.