Teknologi baharu penting untuk merealisasikan matlamat NETR - Nik Nazmi
Bernama
Julai 23, 2024 05:50 MYT
Julai 23, 2024 05:50 MYT
PETALING JAYA: Teknologi baharu muncul seperti kenderaan elektrik dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana inovasi berkenaan menawarkan alternatif yang mampan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi yang selari dengan pemeliharaan alam sekitar.
NETR menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencapai 70 peratus menjelang 2050.
"Pelan hala tuju ini menetapkan sasaran berani yang bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta membawa negara ke arah rendah karbon untuk memacu laluan peralihan tenaga rendah karbon bagi sektor tenaga, pengangkutan, pembuatan serta minyak dan gas.
"Selain itu, NETR melangkaui sumbangannya kepada penyahkarbonan atau pelepasan GHG (gas rumah hijau). Ia juga satu cara merevolusikan dan mengubah ekonomi ke masa hadapan supaya kita menjadi relevan dan berdaya saing dalam dunia yang asas perindustrian dan komersialnya berubah dengan pantas dari hari ke hari."
Nik Nazmi berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Binaan Hijau Antarabangsa (IGBC) keempat anjuran bersama Institut REHDA dan GreenRE di sini semalam.
Selain inisiatif kerajaan, Nik Nazmi berkata langkah proaktif pertubuhan bukan kerajaan juga penting ke arah mewujudkan Malaysia yang mampan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada GreenRE atas pencapaian membanggakan dalam sektor hartanah di Malaysia sepanjang tahun lepas serta mengembangkan pensijilan Malaysia ke luar negara khususnya di United Kingdom dan Kemboja.
"Pelancaran pensijilan hijau terbaharu GreenRE adalah tepat pada masanya kerana ia dapat berganding bahu dengan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) sebagai mekanisme berkesan untuk menilai pematuhan bangunan di Malaysia," katanya.
Mengenai IGBC 2024, beliau berkata acara itu menjadi bukti industri bangunan dan hartanah Malaysia telah menyertai rakan dalam sektor lain untuk memacu usaha kemampanan di peringkat nasional, serantau dan global.
"Sebagai perniagaan, organisasi dan individu, kita semua bertanggungjawab sebagai penjaga persekitaran untuk mengurangkan pelepasan karbon dan membolehkan pertumbuhan lebih hijau. Kerajaan komited untuk menyokong dalam peralihan ini, kami sedia mendengar, belajar dan bertindak," katanya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata kerjasama merentasi keseluruhan rantaian nilai dan transformasi radikal dalam cara bangunan direka bentuk, dibina, diduduki dan dinyahbina diperlukan untuk menangani isu berkaitan pelepasan karbon dan penggunaan tenaga.
Beliau berkata ini susulan laporan bahawa sektor bangunan bertanggungjawab secara global untuk 35 peratus penggunaan tenaga, 38 peratus pelepasan karbon berkaitan tenaga, 50 peratus penggunaan sumber dengan jejak keseluruhan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2060.
Dalam sidang media selepas itu, Nik Nazmi berkata kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Adaptasi Kebangsaan bertujuan meningkatkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim dan mengurangkan kos jangka panjang berhubung dengan tindak balas bencana berkaitan iklim.
"Kita sudah mula (laksanakan) sekarang, kita dapat geran daripada pihak antarabangsa GEF (Global Environmental Fund) jadi mungkin (diumumkan) dalam dua ke tiga tahun akan datang sebab kita sedang menyiapkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Institut REHDA Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip dan Pengerusi GreenRE Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.
-- BERNAMA