Teknologi 5G, keselamatan siber antara lima tumpuan KKMM tahun ini

Bernama
Mac 16, 2021 13:55 MYT
Datuk Saifuddin Abdullah berkata tiga lagi tumpuan kementerian adalah meningkatkan pelaburan asing dalam ekonomi digital, pengantarabangsaan industri kreatif Malaysia dan mentransformasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM). - Bernama
PUTRAJAYA: Mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G dan pemerkasaan teknologi keselamatan siber (SiberKasa) adalah antara lima tumpuan utama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada tahun ini.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata tiga lagi tumpuan kementerian adalah meningkatkan pelaburan asing dalam ekonomi digital, pengantarabangsaan industri kreatif Malaysia dan mentransformasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau berkata bagi percepatkan teknologi 5G, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memberi tumpuan menjayakan pelaksanaan 5G yang akan menyempurnakan kesalinghubungan internet ke seluruh negara dan menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi digital yang lebih rancak.
Menurutnya, sehingga Disember tahun lepas, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diterajui MCMC telah berjaya mencapai 5.4 juta premis diliputi gentian optik, kelajuan jalur lebar mudah alih 25.6 Mbps dan 92.03 peratus liputan 4G.
"KKMM juga telah berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan telekomuniasi utiliti awam," katanya ketika melancarkan Buku 'Menghormati Lambang-Lambang Kebesaran Negara' dan Kad Laporan Setahun KKMM Mac 2020-Mac 2021, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain.
Untuk memerkasakan teknologi keselamatan siber pula, Saifuddin berkata CyberSecurity Malaysia (CSM) akan melaksanakan SiberKasa untuk membangun, memperkasa dan mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara.
"Ini meliputi tiga komponen utama iaitu manusia, proses dan teknologi. Sebagai agensi diiktiraf di peringkat antarabangsa, CSM akan meluaskan penglibatannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata CSM telah memainkan peranan signifikan dalam menjamin ketahanan sistem-sistem digunakan kementerian dan agensi kerajaan termasuk melalui operasi #OpsWakeUp21 di mana ia dapat mengelak daripada diserang.
"Ia juga telah menyelesaikan 90.16 peratus daripada kes yang disiasat dan 92.34 peratus daripada kes aduan diterima. Program kesedaran keselamatan siber iaitu #CyberSAFE telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 individu," katanya.
#Saifuddin Abdullah #MCMC #ekonomi #prasarana #keselamatan #pelaburan #operasi #5G #keselamatan siber