Tekanan politik cabaran terbesar SPRM: Johan
Sinar Harian
September 22, 2022 18:23 MYT
September 22, 2022 18:23 MYT
SHAH ALAM: Cabaran terbesar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu rasuah adalah tekanan daripada ahli politik.
Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, perkara tersebut menyebabkan usaha agensi dalam menjalankan siasatan sesuatu kes itu menjadi sukar akibat campur tangan tersebut.
“Ini adalah masalah yang selalu dihadapi dan orang yang terbabit dalam kegiatan-kegiatan ini bukan orang sembarangan. Bukan semua orang politik ini tidak bagus.
“Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat ini mempunyai kuasa. Kuasa ini yang diberikan oleh mereka dan mereka menyalahgunakannya dalam konteks rasuah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada program Wacana Sinar Khas yang bertajuk Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis Profesor di Pusat Polisi, Tan Sri Omar Abdul Rahman; Profesor Senibina Islam dari Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, manakala Tan Sri Mohd Annuar Zaini selaku moderator.
Selain itu, bekas Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) itu berkata, sehingga kini agensi SPRM masih berdepan dengan pelbagai tekanan dan masalah dari aspek penyiasatan.
Justeru itu, menurutnya, sokongan daripada orang ramai termasuk gagasan massa seperti Sinar Rasuah Busters memainkan peranan penting dari segi menyampaikan mesej serta membantu pihak SPRM dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
“Saya selalu mengatakan bahawa SPRM harus menjadi sama kuat dengan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia supaya mereka dapat bertindak dengan telus dan menjalankan tugas mereka dengan baik,” ujarnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.