Tekanan kos sara hidup: Perak lulus tiga program tambah pendapatan isi rumah
Abd Razak Mohd Ali
Julai 6, 2022 19:15 MYT
Julai 6, 2022 19:15 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak meluluskan tiga program tahun ini bagi membantu peniaga kecil dari kalangan asnaf, penerima bantuan bulanan, Orang Kurang Upaya dan B40 menghadapi tekanan kos sara hidup.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, tiga program itu ialah BizNita, BizMan dan Mentor Menti Yong (M2 Yong).
Menurutnya, tiga program itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah golongan berkenaan.
Katanya, sebanyak RM1.1 juta peruntukan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Perak Sejahtera 2022 disediakan untuk program tersebut.
“Program ini satu inisiatif untuk membantu golongan peniaga kecil yang telah berkecimpung dalam perniagaan dan juga mereka yang baru nak memulakan perniagaan untuk membantu menjana ekonomi keluarga mereka.
“Lebih-lebih lagi sebelum ini kita terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 yang menyebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahahan bantuan BizNita, BizMan dan M2 Yong di Pusat Pembangunan Usahawan Bandar Meru Raya di sini, hari ini.
Menurutnya, program itu akan memberi manfaat kepada 700 penerima di seluruh negeri.
Bagaimanapun, katanya, sehingga tarikh tutup akhir April lalu, pihaknya menerima 1,300 permohonan untuk ketiga-tiga kategori itu.
Menurutnya, penerima bantuan akan terus dipantau dari semasa ke semasa, di samping diberikan bimbingan yang sesuai.
Katanya, kerajaan negeri akan menimbangkan cadangan untuk menambah peruntukan bagi memberi peluang lebih ramai peserta di bawah ke tiga-tiga program itu.