Tekanan, kesihatan, persekitaran faktor utama gangguan mental kepada anggota polis

Ridauddin Daud
Mac 30, 2023 12:10 MYT
Saifuddin berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan yang bertanya faktor berlakunya gangguan mental melibatkan anggota polis. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tekanan, status kesihatan dan persekitaran tempat kerja merupakan tiga faktor utama dikenal pasti menyumbang kepada gangguan kesihatan mental melibatkan anggota polis.
Demikian pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan maklumat itu diperolehi menerusi kajian dibuat baru-baru ini.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading) yang bertanya faktor berlakunya gangguan mental melibatkan anggota polis.
“Bila kita perhalusi analisis tersebut, faktor tekanan tersebut termasuklah berpunca daripada dia kecewa dalam perhubungan, dia ada masalah dalam penyesuaian penempatan baharu.
“Selain itu, dia gagal untuk mengawal daya tindak diri, dia kesunyian akibat berjauhan daripada keluarga dan dia ada masalah perkahwinan.
“Semua faktor ini menyumbang kepada tekanan,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan dapatan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji dari semasa ke semasa modul latihan kepada anggota.
Selain itu, PDRM juga memperhebatkan lagi program sedia ada, khusus untuk menangani isu tersebut secara teliti, bukan secara rambang atau tangkap muat.
“Itu adalah keutamaan yang kita laksanakan sekarang,” ujarnya.
#KDN #PDRM #kesihatan mental #anggota polis
;