Tekanan darah Najib berbahaya akibat pertukaran ubat - Pegawai khas
Hasimi Muhamad
September 12, 2022 13:27 MYT
September 12, 2022 13:27 MYT
KUALA LUMPUR: Tekanan darah Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perut bekas Perdana Menteri itu.
Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi dalam satu kenyataan berkata, ujian kolonoskopi yang dijalani oleh Ahli Parlimen Pekan itu pada Sabtu lalu mendapati doktor menemui beberapa ulser baharu di dalam perutnya.
Susulan keadaan tersebut, Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon untuk untuk pemerhatian di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Permohonan itu, bagaimanapun, ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.
"Semalam, doktor di HKL membuat biopsi yang menyebabkan pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.
"Beliau memohon untuk pemerhatian di HKL tetapi telah dinafikan. Doktor melepaskan (discaj) Najib, menukar ubat-ubatannya daripada ubat biasa yang dimakannya selama bertahun-tahun, dan menghantarnya pulang ke Kajang.
"Pagi ini, pemeriksaan oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah Najib adalah berbahaya akibat perubahan ubat yang diberikan.
"Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pagi ini bahawa keadaan kesihatan Najib teruk dan perlu dihantar ke hospital," kata Muhamad Mukhlis
Jelas Muhamad Mukhlis, keadaan kesihatan yang dialami Najib adalah masalah yang berulang sejak lebih 15 tahun lalu.
Katanya, pada 2010, Najib telah dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana masalah kesihatan tersebut dan ia diketahui umum.
"Tahun lepas, beliau juga berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital swasta kira-kira seminggu, di mana beliau telah menjalani lima kali pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman," tambahnya.
Sehubungan itu, Muhamad Mukhlis berkata, atas dasar kemanusiaan, keluarga Najib merayu kepada pihak penjara, hospital dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan tindakan yang betul, dan membenarkan Najib diberi rawatan serta pemerhatian perubatan yang sewajarnya.
Media melaporkan, Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang ini kerana mengalami masalah kesihatan.
Bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.