Tekanan air rendah, bomba alami kesukaran padam api kebakaran kilang
Adie Sufian Zulkefli
November 21, 2020 11:47 MYT
November 21, 2020 11:47 MYT
SUNGAI PETANI: Sebuah kilang barangan kitar semula di Jalan PKNK Fasa 3, Taman Industri, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran, hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.18 pagi tadi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani tiba di lokasi jam 1.26 pagi.
"Operasi turut dibantu BBP Tikam Batu, Aman Jaya dan Yan dengan lima jentera serta sebuah jentera tangki air," katanya.
Seramai 37 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi pemadaman dan turut dibantu 20 anggota dari Pasukan Bomba Bantuan (PBS) Sungai Petani.
Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi didapati api sedang marak membakar kilang berkenaan dan tindakan pemadaman dilakukan dengan menggerakkan anggota yang dibahagikan kepada tiga bahagian.
Katanya, komander operasi turut memohon bantuan 'foam' ke lokasi kerana terdapat bahan yang diperbuat daripada plastik.
"Bantuan kebajikan dan jentera berat juga dipohon dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah.
"PGO kemudiannya mengarahkan pihak dari BBP Amanjaya menguruskan bantuan berkenaan bagi membantu mangsa yang selamat," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, usaha pemadaman mengalami kesukaran disebabkan masalah tekanan air rendah di lokasi.
Susulan itu, kawalan BBP Amanjaya menghubungi pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Namun, kejadian berlaku di luar waktu perkhidmatan pihak berkenaan yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam sahaja.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjalan sehingga jam 5.20 pagi dengan bantuan jentera tangki air dari JBPM Pulau Pinang.
Setakat pukul 8.37 pagi, PKB melaporkan api telah berjaya dikawal sebanyak 50 peratus.
Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, tekanan air rendah masih berlaku di lokasi kebakaran setakat ini.
Ketika kejadian, kesemua pekerja kilang terbabit sempat keluar menyelamatkan diri.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.