Tekad berjalan kaki dari Skudai ke Istana Negara, di mana abang Noorazlan Ismail sekarang?
Astro Awani
April 2, 2023 07:30 MYT
April 2, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 49, yang membuat keputusan nekad untuk berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara di ibu negara sejak empat hari lalu dikatakan berdepan halangan.
Jelasnya dalam entri terbaharu menerusi akaun TikTok miliknya, beliau berdepan pelbagai halangan dan rintangan sepanjang berjalan kaki.
"Assalamualaikum sahabat-sahabat saya masih tetap dengan misi saya, saya tak sangka banyak halangan saya kena tempuh, berkat doa sahabat-sahabat saya akan sampai ke Istana Negara.
"Mohon doa sahabat sahabat saya akan sampai juga di Istana. Saya tak terfikir benda ini boleh viral macam ini tak terlintas langsung di fikiran saya," jelasnya.
Tambah Noorazlan, niatnya berjalan kaki untuk menggesa kerajaan agar membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk insan sepertinya.
"Niat saya nak orang atas tahu keperitan orang seperti saya dibawah, mungkin masalah masing-masing berbeza tapi pointnya satu iaitu kewangan.
"Insyallah anggaran saya dalam dua hingga tiga hari ini, kalau saya dapat terus tempuh semua rintangan dan halangan insyallah.
"Saya sampai ke istana, mohon sahabat sahabat doa untuk saya Assalamualaikum," jelasnya dalam nada sebak.
Tindakan Noorazlan itu tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang rata-rata memberi kata-kata semangat kepadanya.
Sepanjang perjalanannya, Noorazlan tidak berputus asa untuk terus berjalan kaki meskipun kakinya melecet akibat berjalan terlalu lama.
Malah ada beberapa kawasan, beliau terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca hujan semata-mata untuk menyampaikan hasratnya itu kepada kerajaan.
Mengikut carian di internet, perjalanan Noorazlan dijangka berjarak sejauh 344 kilometer untuk tiba Istana Negara.
Jelasnya, bekerja sebagai pemandu teksi hanya cukup untuk menanpung perbelanjaan keperluan, namun beliau masih berdepan hutang.
Malah kos sara hidup yang makin tinggi dan perbelanjaan persekolahan anak-anak menyebabkannya bertekad untuk membuat tindakan terbabit.