Teka-teki siapa ganti Osman di Johor diketahui hari ini

Astro Awani
April 13, 2019 07:07 MYT
Sultan Johor menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi pada Sabtu.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah serta Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Baharu.
Ia selepas Baginda semalam berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian.
Kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani menyebut, Istiadat Pelantikan Menteri Besar Baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah serta Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Baharu akan diadakan pagi ini di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada jam 9.30 pagi.
Semalam, Sultan Johor menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi bagi menyembah maklum mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor.
Peletakan jawatan Osman berkuat kuasa Isnin lalu, iaitu pada 8 April dan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.
Osman, 67 tahun, Menteri Besar Johor ke-16, dipercayai menteri besar paling singkat tempoh perkhidmatannya, iaitu kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Antara yang disebut-sebut sebagai penggantinya ialah, Dr Sahruddin Jamal, ketika ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri.
#Azmi Rohani #Istana Bukit Serene #Istana Pasir Pelangi #Johor #Menteri Besar #Osman Sapian #Sultan Ibrahim Iskandar
;