Teguran 'kasih sayang' Nadir Al-Nuri buat Ebit Lew, Caprice jelaskan isu malam ini

Madiha Abdullah
Julai 21, 2021 15:54 MYT
Nadir Al-Nuri (kiri), Ebit Lew dan Caprice.
KUALA LUMPUR: Isu membabitkan misi kemanusiaan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memasuki episod baharu selepas pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri, menerusi Telegram, pada Selasa.
Antara lain, Nadir menegur cara pasukan Ebit mengendalikan misi kemanusiaan mereka, yang didakwa tidak melalui proses dan prosedur yang biasa dilakukan oleh kumpulan NGO dari pelbagai negara untuk masuk ke Gaza.
Kata Nadir, pada mulanya dia menyambut gembira berita Ebit dan pasukannya akan ke Gaza, malah turut sama menawarkan bantuan termasuk dari segi dokumentasi yang diperlukan untuk penghantaran bantuan.
Mengakui dihubungi pada peringkat awal oeh wakil pasukan itu, Nadir mendakwa mereka tidak lagi memberi sebarang respons selepas itu, walaupun beberapa kali dia cuba menghubungi mereka.
"Semasa pasukan EL (Ebit Lew) di Kaherah, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan mereka untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas. Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’.
"Selama sebulan mereka terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran.
"Rakan-rakan di Kaherah maklumkan pasukan EL masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh PAnya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza.
"Alangkah baiknya ketika itu dinaikkan post dan ditenangkan hati jutaan pembaca bahawa keadaan mereka baik dan urusan masuk ke Gaza tersekat dan mereka perlu terus menanti keizinan?," dakwa Nadir.
Nadir turut menegur cara pasukan Ebit masuk ke Gaza dengan menggunakan khidmat sebuah syarikat dikenali sebagai Hala.
"Dalam tempoh sekitar lapan tahun selepas pertukaran kuasa di Mesir, NGO hanya dapat masuk ke Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles, dengan jumlah maksimum mungkin 200-300 orang sahaja dapat masuk setahun.
"Kenapa kaedah pasukan EL memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGO boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baharu dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi.
"Ini kerana hasil desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama Malaysia-Mesir hanya untuk melepaskan misi pasukan EL berjaya masuk ke Gaza tidak kira berapa pun kos yang perlu dibayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu. Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk," dakwanya.
Dakwa Nadir, syarikat Hala sememangnya dikenali di Gaza, dengan khidmatnya boleh digunakan sesiapa sahaja yang mampu membayar kos bagi perjalanan masuk dan keluar Gaza tanpa perlu melalui banyak checkpoint.
"Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya.
"Duit sendiri atau duit orang ramai, saya menyeru supaya pada masa hadapan perbaikilah apa kelemahan atau kekurangan, pimpinlah perjuangan kemanusiaan dengan pihak berkaitan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nadir turut menegur tindakan mereka membuka rumah anak yatim di sana.
"Saya malas mengambil tahu apa keperluan dibuka rumah anak yatim sedangkan faktanya di seluruh Gaza ada 20,000 anak yatim tetapi hanya ada satu rumah anak yatim di sini, Ma’ahad Al-Amal.
"Ia menempatkan hanya 120 anak yatim kerana budaya di sini tidak membenarkan anak-anak yatim tinggal di rumah anak yatim, sebaliknya dijaga oleh keluarga terdekat," dakwanya.
Nadir turut menafikan cemburu dengan Ebit sebaliknya ia hanya teguran atas dasar kasih sayang dan untuk memperbaiki kelemahan di masa akan datang.
Dalam pada itu, penyanyi rap, Caprice, yang mencetuskan isu membabitkan misi Ebit ke Gaza sebelum ini, bakal membuat penjelasan menerusi sesi Instagram Live, malam ini.
Menerusi Instagram Story, Caprice berkata pendedahan Nadir itu sedikit sebanyak memberi semangat kepadanya untuk membuat penjelasan tentang isu yang berbangkit.
"Cara Nadir matang, cara Caprice salah sebab terlalu emosi. Harapnya selepas sesi malam ini, kita semua dapat tutup buku dan jalan ke depan," katanya.
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila Caprice mendakwa kehadiran pendakwah dan dermawan itu di Gaza, Palestin tidak disenangi.
#Ebit Lew #Nadir Al-Nuri #Caprice #Gaza #Palestin #misi kemanusiaan #bantuan kemanusiaan #syarikat hala
;