Tegur pemandu tidak guna lampu isyarat, lelaki dibelasah hingga patah tujuh gigi
Junaidi Ladjana
Mac 31, 2021 10:43 MYT
Mac 31, 2021 10:43 MYT
KOTA KINABALU: Akibat menegur cara pemanduan pemandu lain di lampu isyarat, seorang lelaki patah tujuh gigi serta cedera di kepala dan tangan selepas dibelasah dalam kejadian di Jalan Kolam, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Honda S660 dikatakan berselisih dengan sebuah lagi kenderaan Perodua Alza.
Bagaimanapun, ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur kenderaan bersebelahan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.
Keadaan kemudiannya menjadi tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza terbabit dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan batang besi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, menurut laporan diterima, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan.
Katanya, suspek kemudiannya masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera kemudiannya dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan. Dia kemudiannya menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
“Setakat ini, suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
#Kota Kinabalu
#polis
#mangsa
#suspek
#kereta
#keluarga
#cedera
#patah gigi
#tegur
#lampu isyarat
#lorong laju
#batang besi
#Habibi Majinji
#belasah
#pecah cermin kereta