Tegas tak bertempat - PPIM

Kenyataan Media
April 23, 2021 13:02 MYT
Pegawai Kesihatan Persekitaran U42, Zuharnan Rashid menyaman Masjid Sri Maulana, Pekan kerana tidak memaparkan QR Code dan buku pendaftaran lawatan.
PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius tindakan Pegawai Kesihatan Persekitaran U42, Zuharnan Rashid yang menyaman Masjid Sri Maulana, Pekan, Pahang kerana tidak memaparkan QR Code dan buku pendaftaran lawatan yang merupakan keperluan pematuhan SOP sedangkan kedua-dua prosedur itu ada di masjid cuma masih belum dipaparkan dan diletakkan di tempat yang sepatutnya kerana masih terlalu awal.
Masjid berkenaan telah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana kesalahan tersebut. Namun, persoalannya mengapakah sebagai seorang Islam, Zuharnan tidak menggunakan pertimbangan sebelum mengeluarkan kompaun dan menasihatkan pegawai masjid itu melakukan apa yang sepatutnya? Mengapa terburu-buru untuk mengeluarkan saman? Adakah Ketua Pengarah Kesihatan ada menawarkan insentif atau ada kuota perlu dipenuhi untuk setiap kompaun? Masjid adalah rumah ibadat umat Islam dan agama itu adalah agama persekutuan dan kita yakin Zuharnan juga seorang Islam, mengapa bersikap tegas tak bertempat?
Rakyat kini sudah jelak dan banyak mempersoalkan pelanggaran SOP yang serupa di mana ketidakadilan berlaku dan tiada tindakan diambil jika kesalahan itu dilakukan oleh artis atau ahli politik walaupun kertas siasatan telah dibuka.
Walaupun kompaun itu telah dikurangkan sebanyak 50 peratus dan diselesaikan oleh seorang individu, jumlah wang RM5000 itu boleh dimanfaatkan kepada perkara yang lain, mungkin untuk dihulurkan bantuan kepada saudara mara Zuharnan sendiri!
PPIM berharap Ketua Pengarah Kesihatan memandang serius perkara ini dan menasihatkan pegawai bertugas agar lebih rasional dalam menjalankan tugas mereka. Kami juga menggesa YBhg Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah mengeluarkan kenyataan khas menjelaskan perkara ini agar kekalutan tindakan pegawai ini tidak menjadi amalan pegawai penguatkuasa yang lain.
#SOP #PPIM #siasatan #kesihatan #saman #masjid #Pahang #kesalahan #kompaun #pematuhan SOP #Islam #politik #rakyat #rumah ibadat #tegas #Noor Hisham Abdulah #rasional #artis #ahli politik #Masjid Sri Maulana #buku pendaftaran
;