Tedung kepanasan? APM Jeli tangkap 4 ekor selang beberapa hari
Vivi Sumanti
Ogos 2, 2019 14:42 MYT
Ogos 2, 2019 14:42 MYT
Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli berjaya menangkap empat ekor ular tedung selar di lokasi yang berbeza dalam tempoh empat hari.
Pegawai APM Jeli, Leftenan Pertahanan Awam (PA), Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, tangkapan yang bermula pada 28 Julai lalu turut membabitkan ular tedung selar seberat 10 kilogram (kg).
Katanya, ular tedung selar yang berjaya ditangkap pihaknya itu masing-masing di Kampung Bukit Ipoh, Bukit Jering dan juga Pasir Dusun.
"Bagaimanapun tedung selar yang ditangkap di Kampung Bukit Ipoh seberat 10 kilogram serta lima meter panjang adalah antara reptilia yang paling besar yang berjaya ditangkap berbanding yang lain.
"Pada hari kedua, seekor lagi ular tedung seberat lapan kilogram ditangkap di kampung yang sama, ketika sedang bersembunyi di dalam lubang tandas rumah seorang penduduk.
"Operasi tangkapan ular tedung selar ini agak sukar sedikit kerana tindakan reptilia ini menyembunyikan diri di dalam lubang tandas, namun ianya berjaya dibawa keluar," katanya.
Ahmad Suhaizi berkata, pada hari ketiga dan keempat, pihaknya berjaya menangkap ular tedung yang masing-masing seberat empat dan enam kilogram.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan persekitaran kediaman mereka berada dalam bersih serta terjaga untuk mengelakkan ianya menjadi tempat persembunyian reptilia berbisa ini.
#Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi
#Anggota Pertahanan Awam Malaysia
#APM
#Malaysia
#tangkap ular
#tedung selar